Piala Malaysia: Cheng Hoe Lega Tiada Pemain Kedah Cedera, Digantung

Diterbitkan: Jumaat, 17 Oktober 2014 2:56 PM

Cheng Hoe

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe merasa lega tiada pemain utamanya yang cedera atau digantung perlawanan sebelum mereka bertemu Pahang pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di tempat sendiri Ahad ini.

Beliau berkata pemainnya sedang menjalani latihan seperti biasa dalam usaha bagi memperoleh jumlah gol yang selesa dalam perlawanan pertama sambil menyedari Pahang merupakan juara bertahan kejohanan dan juara Piala FA musim ini.

"Motivasi saya kepada setiap pemain ialah fokuskan kepada permainan. Kita telah kenal pasti beberapa kelemahan terutama di bahagian tengah bagi memastikan perancangan dan strategi yang diatur dapat menyumbang gol kemenangan sebagai bekalan untuk bertandang ke Pahang nanti.

"Pemain muda kita juga tidak konsisten permainan mereka sebelum ini dan kita mahu mereka memberi persembahan terbaik seperti yang ditunjukkan ketika menentang Kelantan pada saingan suku akhir," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap tonggak utama iaitu Badrol Bakhtiar, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan pemain import Billy Mehmet Osman mampu untuk merancang dan mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

"Walaupun Khyril Muhymeen tidak cergas sepenuhnya, tetapi kita harapkan sesuatu daripadanya untuk membantu pasukan. Kita harap pemain muda berani untuk melakukan percubaan yang boleh menghasilkan gol," kata Cheng Hoe.

Bagi perlawanan separuh akhir kedua, ia akan berlangsung di Kuantan pada 24 Okt.


Tags / Kata Kunci: Kedah , Pahang , Piala Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan