Luxembourg 0-4 Sepanyol: Diego Costa Akhirnya Sumbatkan Gol Antarabangsanya Yang Pertama

Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 5:01 PM

Diego Costa (kiri) akhirnya berjaya menjaringkan gol sulungnya untuk Sepanyol dalam perlawanan menentang Luxembourg pada awal pagi Isnin, 13 Oktober 2014 (waktu Malaysia).

(Ubah saiz teks)

> Ia adalah gol antarabangsa yang pertama selepas bertarung 515 minit

> Paco Alcacer jaringkan gol ketiganya untuk Sepanyol

> David de Gea bermain buat pertama kali dalam kesebelasan utama gantikan Casillas

TIDAK ada penyerang antarabangsa Sepanyol yang mengambil masa yang begitu lama iaitu sehingga 515 minit untuk menjaringkan gol pertama mereka untuk pasukan kebangsaan tetapi itulah hakikatnya buat Diego Costa yang akhirnya berjaya melakukannya pada percubaan yang ke-7.

Dalam perlawanan kelayakan Kejohanan Negara-Negara Eropah yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia, Sepanyol menang selesa 4-0 ke atas pasukan kerdil Luxembourg.

Ironinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris, yang mana Costa bermain untuk Chelsea, dia adalah penjaring terbanyak buat masa ini dengan sembilan gol tetapi nasib sentiasa tidak menyebelahinya ketika menyarung jersi kebangsaan.

Costa, 26, yang dilahirkan di Brazil telah mengambil kerakyatan Sepanyol sebaik sahaja dia berpindah ke Atletico Madrid dari Brazil.

Dengan reputasinya di Atletico dan Chelsea, tidak ada sebab mengapa dia tidak terpilih membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan buat masa ini.

Tetapi dia tidak dapat mentransformasikan kecemerlangannya di peringkat kelab ke peringkat antarabangsa sehinggalah tuahnya tiba dalam perlawanan menentang Luxembourg.

Lain-lain bintang Sepanyol, seperti Fernando Morientes menjaringkan gol dua minit selepas beraksi untuk Sepanyol, Alfredo Di Stefano melakukannya dalam tempoh 47 minit, Alvaro Negredo dalam 77 minit, David Villa selepas 210 minit dan yang terburuk sebelum ini, iaitu Fernando Torres selepas 220 minit.

Kegagalannya untuk menjaringkan gol di peringkat antarabangsa menyebabkan Costa disamakan dengan Torres ketika bermain untuk Chelsea dahulu.

Tetapi nasib benar-benar menyebelahinya apabila Costa berjaya menjaringkan gol peribadinya yang pertama untuk Sepanyol dari dalam kotak penalti dan apabila dia digantikan oleh penyerang Valencia, Rodrigo ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit sahaja lagi, satu stadium merasakan seolah-olah satu bebanan besar berjaya diangkat dari atas bahunya.

Costa sebenarnya hampir-hampir berjaya menjaringkan gol pada minit ke-11 apabila tandukannya hasil hantaran silang David Silva berjaya diselamatkan penjaga gol Luxembourg, Jonathan Joubert.

Vicente del Bosque merehatkan perancang tengah Cesc Fabregas dalam perlawanan ini. Dia juga telah menguggurkan Iker Casillas dan memberi peluang kepada penjaga gol Manchester United, De Gea bermain buat pertama kalinya dalam barisan kesebelasan utama buat pertama kalinya dalam satu perlawanan kompetatif.

Tetapi ketiadaan Fabregas tidak menjejaskan rentak perancangan Sepanyol dengan Silva, Koke dan Andres Iniesta mengawal kawasan tengah padang dengan baik hanya hantaran-hantaran mereka gagal disempurnakan oleh Costa dan penyerang muda Paco Alcacer.

Namun Silva sendiri akhirnya menjaringkan gol pertama Sepanyol yang juga gol peribadinya yang ke-22.

Hanya Fernando Hierro merupakan pemain tengah yang menjaringkan gol paling banyak dalam sejarah skuad kebangsaan.

Gol itu berjaya mententeramkan skuad Sepanyol.

Alcacer kemudiannya menjaringkan gol yang kedua dan yang ketiga dalam tiga perlawanan pertamanya untuk Sepanyol - menjadikannya penyerang sensasi terkini yang dilahirkan oleh negara itu.

Dan akhirnya Costa menambah gol ketiga Sepanyol yang juga golnya yang pertama sebelum pemain gantian, Juan Bernat menyumbat gol terakhir dan keempat.

Ini adalah gol pertama pemain bek Bayern Munich itu dalam permainannya yang pertama untuk Sepanyol.

SENARAI PENUH PEMAIN:

Luxembourg: Joubert, Mutsch, Chanot, Martins Pereira (Turpel, 60), Philipps, Janisch, Jans, Gerson, Holter, Da Mota Alves (Payal, 75), Bensi. Simpanan: Moris, Hoffmann, Schnell, Martins Santos, Laterza, Joachim, Deville, Luisi. Gol: Tiada.

Sepanyol: De Gea, Pique, Bartra, Jordi Alba, Carvajal, Busquets, Iniesta (Bernat, 72), Koke, Silva (Pedro, 71), Alcacer, Costa (Rodrigo, 83). Simpanan: Casillas, Albiol, Azpilicueta, Raul Garcia, Fabregas, Iturraspe, Juanfran, Cazorla, Casilla. Gol: Silva (27), Alcacer (42), Costa (69), Bernat (88).


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan