Real Minta £60 Juta Untuk Di Maria, Kini Semuanya Bergantung Kepada United

Diterbitkan: Ahad, 24 Ogos 2014 2:57 PM

Angel Di Maria

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER United semakin hampir untuk memperolehi khidmat pemain sayap Real Madrid dan Argentina, Angel Di Maria jika mereka setuju membayar harga £60 juta yang diminta oleh juara Eropah itu.

Jika ini menjadi nyata ia bakal mencatatkan rekod baru perpindahan British.

Rekod sebelum ini dipegang oleh Fernando Torres apabila Chelsea membayar £50 juta kepada Liverpool pada Januari 2011.

Portal berita Britain, Mail Online melaporkan pada Ahad, United juga telah bersetuju untuk membayar Di Maria gaji sehingga £200,000 seminggu sebagai insentif ekoran kegagalan United untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Sebagai tambahan kepada insentif tersebut, terdapat juga tawaran sehingga £8 juta dalam bentuk bonus dan sebagainya, lapor Mail Online.

Portal itu menyebut yang Di Maria pada asasnya bersetuju untuk berpindah ke Old Trafford dan kini hanya menantikan persetujuan ke atas jumlah perpindahan yang perlu dibayar oleh United kepada Real Madrid sahaja.

Pemain berusia 26 tahun itu disifatkan oleh jurulatih United, Louis van Gaal sebagai pemain sayap terbaik dunia dan hakikat ini turut diakui oleh pengkritik sukan dan bolasepak dunia. 

Di Maria pada Khamis lalu enggan menandatangani perlanjutan kontraknya dengan Real dan ini mencetuskan spekulasi yang dia mahu berpindah ke kelab lain ekoran kedatangan Toni Kroos dari Real Madrid dan penjaring gol terbanyak Piala Dunia, James Rodriguez dari Monaco.

Menurut Mail Online, Louis van Gaal telah memperuntukkan jersi nombor 7 kepada Di Maria iaitu nombor ikonik yang sebelum ini dipakai oleh bintang-bintang ternama dan berpengaruh United seperti Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan