PDRM Kejutkan Selangor Untuk Ungguli Kumpulan D - Bola Sepak | mStar

PDRM Kejutkan Selangor Untuk Ungguli Kumpulan D

Diterbitkan: Khamis, 21 Ogos 2014 8:59 AM

Pemain Selangor Abdul Hadi diasak pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohammad Muslim Ahmad (kanan) semasa perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2014 di Stadium Shah Alam, malam Rabu.
Kedudukan separuh masa pertama Selangor 0 - 1 PDRM. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengukuhkan kedudukan Kumpulan D selepas mengejutkan Selangor 2-0 pada saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan di Stadium Shah Alam, malam Rabu.


Juara Juara Liga Perdana musim ini membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 selepas Ashfaq Ali dikasari oleh kapten pasukan Selangor, Bunyamin Umar yang dilayangkan kad merah.

Skuad 'The Corps' memanfaatkan kekurangan pasukan lawan apabila pemain import, Chad Charles Souza menjaringkan gol kedua selepas menerima lorongan Bobby Gonzales pada minit ke-68.

Dalam satu lagi saingan kumpulan D, T-Team meraih tiga mata selepas mengalahkan pasukan Sime Darby 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain import Sime Darby, Dilshod Sharofetdinov membuka jaringan pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-44.

T-Team bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi Leandro Dos Santos pada minit ke-57 sebelum Ramzul Zahini Adnan mengesahkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-82.

Sementara itu di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah merampas kedudukan takhta kumpulan B selepas menundukkan Sarawak 2-0 menerusi jaringan Nasir Basharuddin pada minit ke-44 sebelum pemain import, Abdulafees Abdulsalam melengkapkan kemenangan 'The Bos Gaurus' pada minit ke-58.

Pasukan tuan rumah, Kedah pula diaibkan Terengganu 2-3 di Stadium Darul Aman Alor Setar dalam saingan kumpulan B.
Mohd Ashaari Samsuddin meledak gawang 'Helang Merah' dengan dua jaringan pada minit ketujuh dan 45'.

Pemain import, Billy Mehmet Osman menghadiahkan gol pertama Kedah pada minit ke-47 manakala Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan pada minit ke-60.

Namun pemain import, Mario Karlovic mengesahkan kemenangan pasukan Terengganu dengan jaringan ketiga buat skuad 'Peteh' pada minit ke-74.
Tags / Kata Kunci: PDRM , Selangor , Piala Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan