Tok Gajah Kukuh Cengkaman Tangga Teratas Kumpulan A

Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 11:42 PM

Pemain JDT, Luciano Gabriel Figueroa melakukan tandukan sambil dihalang penjaga gol ATM Syed Adney pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Baru, malam Selasa. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pahang mengukuhkan kedudukan carta teratas kumpulan A saingan Piala Malaysia 2014 selepas mengalahkan kelab Singapura, Lions XII 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah kendalian Zainal Abidin Hassan kekal berada di tangga teratas kumpulan dengan kutipan enam mata.

Dua gol Tok Gajah dijaring pemain import, Dickson Nwakaeme pada minit ke-12 dan Mohd Fauzi Rozlan (87') manakala gol tunggal pasukan tuan rumah disumbangkan Mohamad Faris Ramli pada minit penghujung perlawanan.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, Felda United menundukkan Johor Darul Ta'zim II 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad 'The Fighters' memperoleh jaringan menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit kelima, Edward Junior Wilson (31') dan Shahrulnizam Mustapa (69') manakala JDTII meraih dua gol melalui sepakan penalti oleh Mohd Zaquan Adha (47') dan Shafiq Shaharudin (61').

Sementara itu, naib juara Piala Malaysia 2013, Kelantan mencatat kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan C setelah membenam Pulau Pinang 3-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Baru.

Skuad 'The Red Warriors' membuka jaringan menerusi Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-10 selepas menerima hantaran kapten pasukan Mohd Badri Radzi.

Francis Forkey Doe meledakkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 selepas Ahmad Fakri dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain lawan, Fakhrul Radzi Yaacob.

Ahmad Fakri muncul wira apabila menghadiahkan gol kemenangan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-87 sementara Pulau Pinang meraih gol tunggal menerusi Muhd Rafiuddin Rodin pada minit ke-59.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terikat seri tanpa jaringan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Tags / Kata Kunci: Piala Malaysia 2014

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan