Vincent Kompany Baharui Kontrak 5 Tahun Dengan City Bernilai £31 Juta

Diterbitkan: Khamis, 14 Ogos 2014 4:16 PM

Kapten City, Vincent Kompany bersama piala liga perdana musim lalu.

(Ubah saiz teks)

KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany telah memperbaharui kontraknya dengan kelab itu selama lima tahun lalu bernilai sekurang-kurangnya £31 juta.

Kompany telah mengetuai City menjulang dua kejuaraan liga dan pada usia 28 tahun dia kini berada di puncak kerjayanya untuk memperolehi lebih banyak pingat dan piala.

Ini juga bermakna, Kompany akan terus bermain untuk City sehingga dia mencecah usia 33 tahun.

Pemain antarabangsa Belgium itu menyertai City pada Ogos 2008.

Kontrak baru ini membolehkan Kompany menerima bayaran gaji asas sebanyak £120,000 seminggu tidak termasuk bonus dan lain-lain bayaran tambahan jika memenangi mana-mana kejuaraan.

Selain Kompany, pemain City dengan bayaran melebihi jumlah tersebut ialah pemain antarabangsa Sepanyol, David Silva yang memperolehi sekurang-kurangnya £130,000 seminggu.

Kompany, yang turut memenangi Piala FA Inggeris dan Piala Capital One menegaskan, misi sukar mereka musim ini bukan sahaja untuk progres lebih baik dalam Liga Juara-Juara Ero;ah tetapi yang lebih penting mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lepas.

"Untuk memenanginya bukan mudah tetapi untuk mempertahankannya jauh lebih sukar," ujarnya.

Pasukan pimpinan Manuel Pellegrini itu berjaya ke peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dan Kompany yakin musim ini mereka akan maju ke peringkat yang lebih baik.

Persiapan City untuk musim baru ini sedikit terjejas dengan begitu ramai pemain mereka yang terlibat dengan temasya Piala Dunia di Brazil selama sebulan termasuklah Kompany yang mewakili Belgium.

Mereka tewas kepada Arsenal 0-3 dalam perlawanan pembuka tirai musim iaitu Piala Perisai Komuniti yang berlangsung di Stadium Wembley Ahad lalu.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan