Azraai Khor Letak Jawatan Jurulatih T-Team

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 5:12 PM

Azraai Khor.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pengendali T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada Jumaat.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata keputusan itu dibuat ekoran rasa bertanggungjawab kerana gagal membawa dan mengekal The Titans dalam saingan Liga Super.

Beliau berkata beliau turut kecewa dengan laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang memetik kenyataan pihak pengurusan T-Team bahawa beliau meninggalkan pasukan menjelang persiapan play-off menentang Negeri Sembilan untuk kelayakan Piala Malaysia pada 28 Jun lalu.

Mohd Azraai merasai kenyataan akhbar tersebut telah mencalar imej serta kredibiliti beliau sebagai ketua jurulatih dan oleh itu beliau mengambil keputusan mengundur diri.

"Saya tegaskan bahawa saya tidak ponteng dari sesi latihan dan saya juga telah menghubungi pegawai tertinggi kelab bagi mendapatkan kebenaran untuk pulang ke kampung pada tarikh yang dikatakan saya ponteng itu.

"Ya, saya memang kecewa. Laporan yang dikeluarkan itu memang memberi kesan negatif terhadap diri saya seolah-olah saya adalah jurulatih yang tidak bertanggangjawab," katanya di sini, Jumaat.

Mohd Azraai berkata individu yang mengeluarkan kenyataan itu yang merupakan pegawai media T-Team sendiri tidak sepatutnya dibuat sehingga boleh memburukkan serta menjejas nama pasukan serta kredibiliti beliau.

"Dia sebagai seorang pegawai media yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan akhbar yang boleh memburukkan dan menjejaskan nama pasukan termasuk diri saya selaku jurulatih.

"Sepatutnya pihak pengurusan ambil perhatian berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata beliau juga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung artikel berkenaan dan memaafkan penulisnya.

Mohd Azraai berkata beliau tidak mahu T-Team jatuh ke Liga Perdana dan beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan pasukannya dalam Liga Super.

Beliau menandatangani kontrak selama dua tahun dengan T-Team sehingga 2015.

Tags / Kata Kunci: azraai khor , T-Team , letak jawatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan