Peter Velappan Hasilkan Memoir

Diterbitkan: Rabu, 9 Julai 2014 5:24 PM

Memoir Peter Velappan, bekas Setiausaha Agung Fam dan AFC

(Ubah saiz teks)

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (Fam) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan baru-baru ini melancarkan memoir kenang-kenangannya berkecimpung selama lebih 30 tahun dalam dunia bolasepak.

Memoir yang berjudul Beyond Dreams itu setebal 334 mukasurat adalah berkisar dirinya sebagai seorang guru, jurulatih dan juga pentadbir.

"Apa yang telah saya capai dalam dunia pentadbiran dan juga pembangunan bolasepak adalah hasil kerja keras selama bertahun-tahun. Saya datang dari keluarga yang susah dan ibu saya bekerja sebagai penoreh getak di sebuah ladang di Seliau, Negeri Sembilan.

"Saya mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah Tamil tetapi hasil kerja keras saya akhirnya berjaya mendaki tangga Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) dan saya mahu memberitahu masyarakat bahawa tiada yang mustahil di dunia ini jika anda mempunyai sikap yang betul dan semangat untuk berjaya," katanya pada majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Presiden Fam yang juga Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr Mani Jegatheesan dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Beyond Dreams dibahagikan kepada lima bab - yang pertama mengenai masa kecil Peter diikuti oleh pengalamannya bersama AFC, Fam dan Fifa.

Peter yang akan meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-79 pada 1 Oktober ini mengenang kembali zaman persekolahannya di sekolah Tamil sebelum berpindah ke Anglo Chinese School (ACS) di Seremban.

Ketika di ACS, beliau sangat aktif dalam bolasepak, hoki dan lumba lari.

Selepas berjaya menamatkan pengajian menengahnya, Peter terpilih untuk mengikut program perguruan di Brinsford Teacher's College di United Kingdom.

Beliau kembali ke Malaya sebagai seorang guru bertauliah dan terus ditugaskan kembali ke sekolah asalnya iaitu ACS Seremban.

Dalam memoirnya itu, Peter juga mencatatkan bagaimana dia kemudiannya berkecimpung dan bergiat aktif dalam sukan bolasepak negara sehingga dilantik sebagai penolong pengurus kepada skuad bolasepak kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 yang ketika itu diterajui oleh Datuk Harun Idris.

Bagaimanapun menurut Peter, cabaran terbesarnya ialah apabila beliau diamanahkan sebagai setiausaha agung AFC dari 1978 hingga 2007.

Beliau memainkan peranan yang besar dalam memastikan dua buah negara Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan menjadi hos bersama temasya Piala Dunia 2002.

Ia adalah pertama kali untuk dua buah negara bergabung sebagai hos untuk temasya bolasepak terbesar atas muka bumi ini.

Bukan setakat itu sahaja, kerana inilah juga buat pertama kalinya dalam sejarah, pemilihan hos Piala Dunia dilakukan tanpa sebarang proses pembidaan.

Di atas pengalamannya yang luas itu, Peter telah dilantik sebagai pengarah kordinator Piala Dunia 2002 dan juga menganggotai lembaga pengarah kejohanan Piala Dunia.

Dan di atas kapasitinya dalam Fam dan juga AFC, Peter berpeluang untuk bekerjasama dan berkhidmat di bawah kepimpinan dua orang bekas perdana menteri Malaysia iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan juga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Selepas persaraannya dari AFC, Peter bergerak aktif dalam Olimpik Khas iaitu program untuk ahli sukan dari kalangan mereka  kurang keupayaan intelektual.

Hasil daripada penjualan memoir ini akan disumbangkan kepada Olimpik Khas Malaysia ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan