40 Peratus Muka Baharu Dalam Skuad Kebangsaan - Dollah

Diterbitkan: Rabu, 9 Julai 2014 10:08 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berkemungkinan besar akan mengambil beberapa pemain daripada pasukan lamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai barisan skuad kebangsaan.

Katanya beliau sudah mempunyai senarai pemain yang akan dipanggil namun ianya akan diumumkan selewat-lewatnya awal minggu depan sebelum berangkat menunaikan umrah, Isnin ini.

Pada 28 Jun lepas, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah telah mengumumkan pelantikan ketua jurulatih skuad Liga Perdana PDRM itu sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

"Kemungkinan besar saya akan membawa pemain pertahanan PDRM Mohd Muslim Ahmad dan beberapa muka baharu lagi untuk menyertai skuad baharu Harimau Malaya," katanya kepada Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini pada Rabu.

Beliau berkata Mohd Muslim adalah seorang pemain yang berbakat dan telah membuktikan beberapa kejayaan ketika beraksi bersama PDRM dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Mohd Muslim pernah menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2009 dan pernah menjadi kapten pasukan Harimau Muda A pada 2011 sebelum menyertai pasukan Terengganu pada 2012.

Menurut Dollah, beliau telah membuat keputusan untuk mengekalkan sebahagian besar pemain lama skuad Harimau Malaya dan hanya akan membawa masuk 40 peratus muka baharu.

Dalam pada itu, Dollah turut menyuarakan hasratnya untuk memastikan skuad kebangsaan berjaya ke peringkat akhir dalam Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Disember ini.

Walaupun kini tinggal kurang daripada lima bulan sahaja, beliau yakin skuad Harimau Malaya dapat beraksi dengan baik.

"Kita akan cuba yang terbaik, ialah memang sukar sebab masa begitu singkat, tapi saya akan lakukan yang terbaik...lagipun sekarang kita ada Piala Malaysia pada bulan Ogos ini, mungkin dalam bulan September baru kita boleh mulakan latihan," katanya.

Katanya, walaupun memikul tugas yang berat, beliau tidak akan menghampakan peminat, malah beliau akan cuba menggunakan pendekatan baharu dan tidak akan meniru pendekatan yang digunakan oleh mana-mana jurulatih terdahulu.

Menjelang Piala Suzuki AFF, beliau akan mencorakkan strategi pemain dalam perlawan persahabatan antarabangsa dengan Tajikistan pada 6 Ogos ini dan Jordan (11 Oktober) serta Singapura dan New Zealand yang masih dalam perbincangan.

Sementara itu, pengurus baharu pasukan Harimau Malaya, Datuk Sudarsono Osman turut yakin dengan bimbingan Dollah selaku jurulatih baharu, mampu membawa skuad negara ke peringkat akhir.

"Kita tahu harapan peminat-peminat dan penyokong kita memang sangat tinggi dan sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi harapan ini," katanya.

Malaysia sebelum ini pernah menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010 dan pada edisi 2012 yang berlangsung di Malaysia dan Thailand, skuad Harimau Malaya sekadar mara ke peringkat separuh akhir sahaja.
Tags / Kata Kunci: Dollah Salleh , Harimau Malaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan