Piala Dunia: Sepanyol Yakin Pertahan Kejuaraan - Bola Sepak | mStar

Piala Dunia: Sepanyol Yakin Pertahan Kejuaraan

Diterbitkan: Isnin, 9 Jun 2014 11:41 AM

Pasukan Sepanyol memilih Amerika Syarikat sebagai lokasi latihan untuk Piala Dunia 2014.

(Ubah saiz teks)

SKUAD Sepanyol yang bakal mempertahankan kejuaraan Piala Dunia kali ini yakin berbuat demikian apabila memulakan kempen pada kejohanan yang bermula di Brazil, 12 Jun ini.

Bakal menentang Belanda pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan B, pasukan itu tampil bersemangat tanpa gentar untuk berdepan pasukan itu pada Jumaat ini kerana pernah menewaskannya pada final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Bagaimanapun kami tetap menghormati mereka (Belanda) dan pada masa sama, tidak gentar untuk menghadapi mereka pada aksi pembukaan peringkat kumpulan nanti.

"Mereka muncul naib juara pada 2010 dan ia pasukan yang kami hormati," kata pengurus Sepanyol, Vicente Del Bosque.

Selepas Belanda, pasukan itu akan bertemu Chile dan Australia untuk melengkapkan saingan pusingan pertama.

"Kami optimis selepas menamatkan dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Setakat ini, kami sudah memenuhi jangkaan pasukan dan makin hampir untuk memenanginya sekali lagi," jelasnya.

Bagaimanapun, del Bosque bakal melakukan percaturan baharu untuk memperbaiki beberapa aspek selepas melihat prestasi pasukannya ketika menentang El Salvador yang mengambil masa sehingga minit ke-60 untuk menjaringkan gol.

"Kita perlu lebih kreatif serta bijak untuk melakukan jaringan, untuk itu, kami mahu sentiasa mengawal dan menguasai rentak permainan," katanya.

Sementara itu, bintang Sepanyol, David Villa berkata, kehadirannya di Brazil sebagai juara bertahan kerana sedar 31 lagi pasukan akan cuba menggugat kemaraan mereka.

"Kami tidak mempunyai kelebihan, tetapi datang dengan memegang reputasi sebagai juara bertahan dan akan cuba mengulanginya," katanya.



Tags / Kata Kunci: Sepanyol , Piala Dunia , Brazil
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan