Piala Dunia: England Siap Sedia Beraksi di Brazil

Diterbitkan: Isnin, 9 Jun 2014 10:06 AM

Pasukan England mendarat di Rio De Janeiro pada Ahad untuk Piala Dunia 2014.

(Ubah saiz teks)

RIO DE JANEIRO: Joe Hart dan rakan sepasukan yang mewakili England tiba di Brazil dengan semangat berkobar-kobar dan bersedia untuk beraksi pada Piala Dunia 2014.

Selepas melalui sesi persediaan rapi di Portugal dan seterusnya Miami bagi menyesuaikan diri dengan cuaca panas di negara Selatan Amerika itu, pasukan negara itu kini mahu memberi yang terbaik.

Ketika di Florida, sesi latihan turut membabitkan perlawanan persahabatan dengan Ecuador dan Honduras yang berakhir dengan seri, selain masalah kecederaan yang dialami Alex Oxlade-Chamberlain.

Kini, pasukan yang tiba pada Ahad itu mula memberi fokus kepada perlawanan pertama dalam kumpulan D menentang Itali.

"Kami dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi apabila Steve Gerrard dan Jordan Henderson turut bersama dalam pasukan.

"Nampaknya pasukan ini seperti digeruni dan ia sesuatu yang positif," kata penjaga gol skuad negara itu.

Hart juga menyuarakan rasa gembira kerana pasukan negara itu kini memiliki semangat sepasukan yang kukuh sejak meluangkan masa berlatih bersama sejak tiga minggu lalu.

Dalam tiga perlawanan persahabatan yang disertai baru-baru ini, England hanya berjaya menewaskan Peru 3-0 di Wembley.

Malah, Hart juga memaklumkan kem latihan khusus untuk Piala Dunia tahun ini memenuhi apa yang diinginkan setiap pemain.

"Kami akan bekerja keras setiap hari dan kami bersedia sepenuhnya sebaik menjejakkan kaki ke Brazil," katanya.



Tags / Kata Kunci: Joe Hart , England , Piala Dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan