Piala FA: Mampukah Felda Cipta Kejutan Atasi Pahang?

Diterbitkan: Sabtu, 7 Jun 2014 10:48 AM

Kapten Pasukan Felda United Shukor Adan dan Kapten Pasukan Pahang Mohd Razman (kiri) bergambar bersama piala sebelum Perlawanan Akhir Piala FA, di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Felda United bakal tampil sebagai kelab pertama yang menjuarai Piala FA sejak 24 tahun lalu jika berjaya menewaskan Pahang di Stadium Shah Alam  pada malam Sabtu.

Bagaimanapun, hasrat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim bakal mendapat saingan sengit kerana Pahang pastinya mahu menambah koleksi piala.

Mengikut rekod, Sime Darby dan Johor Darul Ta'zim antara kelab yang berjaya ke perlawanan akhir Piala FA masing-masing pada 2012 dan 2013.

Oleh itu, adakah Felda United mampu melakar sejarah baharu pada Piala FA?

Ketua Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, berdasarkan pengalamannya, Felda bakal berhadapan tentangan hebat daripada skuad Tok Gajah.

"Perlawanan akhir adalah sesuatu yang sukar, dan realitinya tiada kelab yang mampu menjadi juara sejak 1990.

"Sudah pastinya kami juga pernah melaluinya pada 2012 tetapi kami gagal pada halangan terakhir. Kami melakukan segalanya termasuk bertahan sehabisnya," katanya.

Tambahnya, selain kekuatan pemain Pahang, peminat juga memainkan peranan penting untuk membakar semangat pejuang di atas padang.

"Pahang sering bermain di hadapan 30,000 penyokongnya di laman sendiri sejak menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu.

"Pastinya mereka akan menjadi pilihan untuk juara berbanding Felda United yang bermain di hadapan 500 penyokong," ujarnya.

Bagaiamanpun, pengalaman Irfan Bakti yang pernah membantu Pulau Pinang dan Terengganu menjuarai Piala FA sebelum ini juga tidak boleh dipandang mudah.

Hal ini kerana, pastinya beliau juga mempunyai ramuan terbaik untuk mengatasi Pahang yang dibimbing oleh Zainol Abidin Hassan.

Selain itu, skuad berkenaan juga memiliki pemain berpengalaman seperti  Indra Putra Mahayuddin, Mohd Shukor Adan dan penyerang prolifik Edward Wilson Junior, yang menjaringkan 16 gol dalam Liga Perdana.

Manakala Pahang bakal diperkuatkan oleh pemain sayap kiri, R Gopinathan, Mohd Azamuddin Akil dan dua penyerang iaitu Matias Conti serta Dickson Nwakaeme.

Tags / Kata Kunci: Piala FA , Felda United , Pahang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan