Perak Jumpa Johor Final Sukma

Diterbitkan: Ahad, 1 Jun 2014 11:58 PM

Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (tengah) diasak oleh pemain pertahanan Perlis semasa perlawanan separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) XVll Perlis 2014 di di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pada Ahad malam. Perak layak ke peringkat akhir selepas menewaskan Perlis 3-2.

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Perak melangkah ke final acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 selepas mengecewakan tuan rumah Perlis 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, Ahad malam.

Jaringan gol kemenangan Khairul Asyraf Shahizah pada minit ke-72 berjaya membawa skuad 'The Boss Gaurus' ke pentas final selepas Perlis mendahului 2-1 pada babak pertama.

Perlis, yang turun dengan penuh bersemangat untuk mengukir kejayaan di hadapan penyokong sendiri, memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila membolosi gawang Perak seawal minit keenam menerusi Mohammad Syafiq Azmi.

Tersentak dengan jaringan awal, Perak tidak berpatah semangat malah melakukan serangan balas serta cuba mengekang gerakan Perlis dengan rentak mengelirukan.

Kealpaan benteng pertahanan Perlis dihukum apabila Perak menyamakan kedudukan menerusi Khairul Asyraf pada minit ke-25 sebelum Mohammad Syafiq meletakkan pasukan Singa Utara itu di hadapan sekali lagi pada minit ke-32.

Pada babak kedua, kekasaran pemain pertahanan Perlis membawa padah apabila Perak diberikan sepakan penalti.

Muhammad Rafiq Faeez Muhammad menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-60 untuk menyamakan kedudukan sebelum Khairul Asyraf melakukan sentuhan emas untuk mengesahkan Perak di final.

Perak akan menentang Johor pada final, Selasa ini.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Pauh dekat, jaringan tunggal Mohammad Akmal Ishak pada minit ke-23 membawa Johor ke final selepas menundukkan Kedah 1-0.
Tags / Kata Kunci: Sukma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan