Red Giants Sedia Temui Sevilla Fc

Diterbitkan: Sabtu, 24 Mei 2014 10:57 PM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Pendahulu Liga Super Selangor sudah bersedia untuk menentang Sevilla Fc, yang baru dinobatkan sebagai juara Liga Europa pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Ketua jurulatih Selangor, Mehmet Durokovic berkata pasukan itu sudah membuat persiapan dan teruja untuk turun ke padang bertemu juara Liga Europa itu. 
 
"Ia satu kepuasan dan penghormatan untuk menerima kunjungan kelab gergasi bola sepak Sepanyol itu di Malaysia dan diharapkan kita dapat menyaksikan perlawanan yang seimbang dengan semua pemain saya yang layak berpeluang turun ke padang," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Mehmet berkata pasukan Red Giants kini menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi beliau akan memastikan semua pemain menunjukkan persembahan terbaik pada perlawanan. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad berkata ia merupakan impian menjadi kenyataan bagi beliau untuk menyaksikan Selangor menentang gergasi Sepanyol itu. 
 
"Saya berharap semua pemain dapat mempelajari gaya dan selok-belok bola sepak daripada juara sebenarnya dan kemudian mempraktikkannya dalam liga kita," kata beliau. 

Dalam pada itu, Naib Presiden Sevilla FC, Jose Maria Del Nido bekata mereka amat berbangga berada di sini dan memperkenalkan bola sepak Sepanyol kepada peminat di Malaysia.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Duta Liga de Futbol Profesional (LFP) World Challenge, Cesar Augusto Lendoiro, ketua jurulatih Sevilla FC, Unai Emery, dan kapten Sevilla FC, Fernando Navaro.

Tiket-tiket untuk menyaksikan perlawanan berharga RM20 dan dijual di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, mereka yang mempunyai tiket bagi perlawanan malam ini antara Selangor and JDT, mereka boleh membawa nya bersama untuk masuk percuma.
Tags / Kata Kunci: Red Giants , Sevilla Fc

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan