Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti Pertama Kali Mandi Pancuran Hujan Pada Usia 16 Tahun

Diterbitkan: Sabtu, 24 Mei 2014 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

> Berasal dari keluarga peladang yang miskin di Itali

> Tidak suka bermegah dengan kekayaan, hanya pandu kereta Opel bukan Ferrari

> Bakal mencatat sejarah terlibat dalam final Piala Eropah yang ketujuh sebagai pemain & pengurus

> Ancelotti akan tersenarai sebagai satu-satunya pengurus selain bekas pengurus Liverpool Bob Paisley untuk menang Piala Eropah tiga kali jika Real Madrid menewaskan Atletico Madrid pada Sabtu


CARLO Ancelotti tidak dapat menyembunyikan fakta yang dia memang kuat merokok tetapi pada masa yang sama dia juga tidak menyembunyikan fakta yang dia seorang yang sederhana walaupun bergelar jutawan. Ancelotti hanya memandu kereta Opel dan bukannya Ferarri walaupun dia mampu berbuat demikian.




Wang bukan masalah baginya tetapi dia tidak pernah melupakan hakikat bahawa dia hanya berpeluang mandi di bilik air yang mempunyai kemudahan pancuran air hujan ketika berusia 16 tahun.

Sebelum itu dia dan keluarganya tinggal di atas satu plot tanah ladang yang disewa oleh bapanya dan mereka tidak pernah seumur hidup menjejakkan kaki di pasar raya besar. Segala-galanya mereka hasilkan sendiri - daripada susu, mentega, keju, barang keperluan dapur - semuanya dihasilkan dari titik peluh kerja di ladang.

Dia kini hanya memerlukan satu sahaja kemenangan lagi untuk mencipta sejarah peribadi yang tersendiri sebagai satu-satunya pengurus selain bekas pengurus Liverpool, Bob Paisley untuk memenangi Piala Eropah (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara) sebanyak tiga kali.

Perlawanan akhir Piala Liga Juara-Juara di antara Real Madrid dengan jiran mereka Atletico Madrid akan berlangsung di Lisbon, Portugal pada jam 2.45 pagi Ahad (waktu Malaysia).

Dalam satu temuramah eksklusif dengan wartawan akhbar The Daily Mail, MATT LAWTON, Ancelotti menegaskan yang dia tidak pernah bermegah-megah dengan diri dan pencapaiannya mungkin kerana pembawakan latar belakang dirinya dan juga keluarganya yang sederhana ketika kecil dahulu.

"Ya saya tahu Bob Paisley adalah seorang lagenda...dia menang Piala Eropah sebagai pengurus sebanyak tiga kali pada  ’77, ’78 dan ’81 dan memanglah menjadi satu penghormatan untuk tersenarai bersama-samanya sebagai satu-satunya pengurus yang berjaya memenangi piala itu sebanyak tiga kali tapi saya tidak pernah membesar-besarkan diri saya dalam apa jua cara sekali pun," katanya.

Bob Paisley bersama piala yang berjaya dimenangi ketika mengendali Liverpool.

Jadi jika pencapaian peribadi dan diri bukan satu motivasi apakah motivasi bagi Ancelotti?
 
"Motivasi paling besar bagi saya ialah untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab yang anda pimpin atau sertai.

"Untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini, itu adalah jauh lebih besar daripada pencapaian peribadi. Itulah yang penting. Liga Juara-Juara telah memberikan saya saat kemenangan dan pencapaian yang tidak terhingga. Saya telah menang piala ini empat kali sebagai pemain dan pengurus. Tetapi bagi kelab ini, ia adalah mengenai kemenangan kesepuluh sebagai juara Eropah. Itu lebih penting. Itulah motivasi kami semua," katanya lagi.

Tidak sepertimana pengurus sebelumnya - Jose Mourinho - yang sentiasa bertegang dan bersikap sarkastik bila berdepan dengan wartawan yang bertanyakan soalan-soalan panas kepadanya, Ancelotti memperlihatkan sikap yang bertentangan. Dia sentiasa tersenyum, relaks dan merendah diri.

"Mungkin ini gaya saya (suka berjenaka dan tersenyum)...tapi mereka (para wartawan) akan tetap menikam saya jika Real tewas di Lisbon nanti (merujuk kepada perlawanan akhir Piala Liga Juara-Juara)," ujarnya sambil ketawa.



Ancelotti menjulang Piala European ketika bersama Ac Milan pada 1989.

 
Tetapi Ancelotti dengan pantas mempertahankan Jose Mourinho.

"Anda semua patut menyedari satu perkara...ramai yang menyayangi dan sukakan Jose di Madrid. Hanya ada dua jenis kategori manusia sahaja bila berdepan dengan Jose...yang menyukainya dan yang menentangnya.Tapi percayalah lebih ramai yang sukakannya di sini daripada yang menentangnya."

Semua orang harus sedar, kata Ancelotti, yang Mourinho memenangi kejuaraan La Liga bersama Real Madrid dengan mencapai 100 mata dan 100 gol.

"Tapi ini adalah satu kerjaya yang penuh dengan tekanan. Malam ini anda menang Piala Eropah musim depan anda kalah tiga perlawanan liga berturut-turut anda akan dipecat. Sebab itulah kalau anda tanya saya mengenai kejayaan hari ini dan lepas saya tidak begitu memikirkannya sangat kerana hari ini anda boleh berada di atas tapi esok anda boleh berada di bawah," jelasnya.

Ancelotti mungkin merujuk kepada apa yang berlaku ke atas dirinya ketika di Chelsea. Dia dipecat oleh pemilik Chelsea, Roman Abramovich hanya kerana berakhir di tangga kedua Liga Perdana Inggeris tidak sampai setahun selepas menjadi juara liga dan juara Piala FA.
 
Pengurus berbangsa Itali ini juga adalah seorang yang percaya kepada falsafah bekerja secara kolektif sebagai satu pasukan. Kerana itulah cara dia dibesarkan di ladang oleh keluarganya di Utara Itali.

Bapanya, Giuseppe, telah menanam nilai-nilai ini ketika dia masih kecil lagi.

"Ayah membesarkan kami dengan makanan yang dihasilkan daripada 10 ekor lembu tenusu yang menghasilkan susu Parmesan. Kami tidak perlu pergi ke pasar raya. Segala-galanya kami hasilkan sendiri. Roti, susu, keju, semuanya datang dari hasil ladang. Kami membela ayam untuk mendapatkan telur. Adakah anda tahu yang saya tidak pernah merasa bagaimana mandi di bilik air yang ada pancur hujan sehingga saya berusia 16 tahun. Saya masih ingin berdiri di bawahnya sambil berfikir benda apakah ini yang menghasilkan air dari atas paip bagaikan air hujan,” ceritanya.
 
Tetapi katanya mereka semua berasa selesa dan tidak pernah merungut.

"Saya, adik perempuan saya, nenek dan datuk kami tinggal bersama ibu dan ayah saya di dalam satu rumah. Saya tidak pernah sama sekali melupakan asal usul saya," ujarnya.

Sehingga ke hari ini, Ancelotti hanya memandu kereta Opel dan bukannya Ferarri walaupun dia sudah menjadi jutawan dan lebih dari mampu untuk memiliki kereta seperti itu.
Tags / Kata Kunci: Ac Milan , Chelsea , Real Madrid , Opel

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan