David de Gea Dinobat Pemain Terbaik Man Utd

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mei 2014 2:56 PM

David de Gea bersama trofi pemain terbaik United bagi musim 2013/14

(Ubah saiz teks)

> de Gea juga dipilih sebagai pemain terbaik oleh kelab penyokong

> Wayne Rooney menerima anugerah jaringan gol terbaik dalam perlawanan menentang West Ham

> Ryan Giggs dianugerahkan trofi pencapaian sepanjang hayat

> Hero baru James Wilson menerima anugerah pemain muda terbaik

DAVID de Gea telah dipilih sebagai pemain terbaik Manchester United oleh pemain-pemain kelab itu bagi musim 2013/14 dalam satu majlis gala yang berlangsung di old Trafford malam Khamis.

Malah pemain dari Sepanyol itu turut dipilih sebagai pemain terbaik kelab oleh penyokong-penyokong kelab itu.

Dalam undian yang dibuat oleh para penyokong United, De Gea memperolehi 54 peratus undi mengatasi dua lagi calon popular iaitu Wayne Rooney dan Adnan Januzaj yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

De Gea berkata yang dia amat terharu untuk menerima penghormatan dan pengiktirafan daripada rakan-rakan sepasukannya dan juga seluruh peminat United.

"Ada kalanya keyakinan dan sokongan daripada rakan-rakan sepasukan anda sangat penting dan rakan-rakan sepasukan saya adalah yang terbaik yang boleh anda perolehi," ujarnya.

Wayne Rooney walaupun berada di tangga kedua dalam pilihan peminat tetapi tetap muncul sebagai salah seorang penerima anugerah pada malam itu.

Beliau pulang dengan anugerah gol terbaik musim ini iaitu jaringan dari jarak separuh padang bola yang dijaringkannya dalam perlawanan menentang West Ham di Upton Park pada Mac.

Jaringan luar biasa itu membawa kembali memori jaringan yang hampir sama yang dilakukan oleh David Beckham pada tahun 1996. Hendak dijadikan cerita, Beckham turut hadir di stadium untuk menyaksikan perlawanan itu dan kemudian berdiri sambil menepuk tangan kegembiraan selepas Rooney menjaringkan gol dengan gaya dan jarak yang hampir identikal dengannya dulu.

Gol yang dihasilkan oleh Rooney itu menerima 58 peratus undian untuk menumpaskan satu lagi gol luar biasa yang dijaringkan oleh naib kapten, Patrica Evra ketika menentang Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu.

Rooney bagaimanapun dalam nada merendah diri berkata yang gol jaringan bekas rakan sepasukannya, David Beckham jauh lebih cantik dan kemas berbandingnya.

Dalam pada itu pengurus interim United, Ryan Giggs mendapat tepukan paling gemuruh apabila beliau bangun ke pentas untuk menerima anugerah sepanjang hayat di atas servisnya tanpa putus untuk United sejak berusia 12 tahun sehinggalah sekarang. Giggs kini berusia 40 tahun dan masih bermain untuk United.

Keseluruhannya beliau telah mewakili United dalam pelbagai kejohanan sebanyak lebih 900 kali - satu rekod yang tidak mungkin dapat dipecahkan oleh sesiapa pun.

"Selalunya saya bukanlah seorang yang emotional tetapi malam ini sangat-sangat menyentuh perasaan saya...untuk menerima anugerah yang sangat istimewa ini adalah sesuatu yang tiada bandingan.

"Kelab ini sebenarnya telah menyentuh perasaan semua orang kerana ia bukan hanya sekadar sebuah kelab bolasepak tetapi ia adalah satu keluarga yang besar kerana begitu ramai orang yang istimewa yang telah menjadi sebahagian daripada kejayaan luar biasa kelab ini," kata Giggs lagi.

Giggs juga memberi penghormatan khas kepada bekas pengurusnya Sir Alex Ferguson, yang disifatkannya sebagai satu-satunya orang yang meninggalkan kesan yang sangat besar ke atas kariernya.

"Saya berasa sangat bertuah kerana berada di bawah bimbingannya," ujar Giggs.

Dua hari selepas menjaringkan dua gol dalam persembahan sulungnya bersama skuad senior, bintang baru berusia 18 tahun, James Wilson telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Jimmy Murphy iaitu anugerah untuk pemain remaja Manchester United.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan