12 Pasukan Sah Rebut Trofi Juara Asia B-16

Diterbitkan: Khamis, 8 Mei 2014 9:24 AM

Presiden FRENZ United FC, Datuk Noor Ihsan Abdul Hamid (tiga kiri), Penasihat Teknikal FRENZ United dan Steve Mcmahon (empat kiri) menunjukkan Piala Juara Asia B-16.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sejumlah 12 pasukan dari benua Asia telah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Bolasepak Trofi Juara Asia Bawah 16 (B-16) 2014 anjuran Akademi Bola Sepak Frenz United (FUFC) dari 17 Mei hingga 31 Ogos ini.

Presiden FUFC Datuk Noor Ihsan A. Hamid berkata kejohanan edisi kedua itu menjanjikan saingan sengit dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$100,000 (RM324,770) selain penyertaan beberapa pasukan baharu, tahun ini.

"Kita turut menjemput skuad Harimau Muda C (B-19 negara) untuk menyertai kejohanan ini, namun mereka kini membuat persediaan rapi bagi menghadapi beberapa kejohanan penting, pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di sini.

Noor Ihsan turut yakin pelantikan bekas pemain antarabangsa England, Steve McMahon selaku penasihat teknikal akademi berkenaan sejak Disember lepas diyakini dapat membantu dua wakil negara iaitu Frenz United Malaysia A dan B dalam mencabar kejuaraan pada edisi tahun ini.

"Kita yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Steve yang merupakan bekas pemain Liverpool FC dapat membantu memantapkan permainan pasukan serta taktikal jurulatih kita," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Frenz United Malaysia A, Ahmad Fairuz Yunus menyasarkan skuadnya dapat menjulang kejuaraan buat kali pertama tahun ini, menerusi beberapa program intensif selain aksi persahabatan yang diadakan dengan beberapa kelab tempatan dan luar negara.

Beliau berkata kegagalan sebelum ini termasuk kalah agregat 4-1 kepada Chonburi FC dari Thailand pada aksi final tahu lepas, telah memberi pengajaran berguna kepada skuad kendaliannya supaya tidak mengulangi kesilapan yang serupa.

Ahmad Fairuz bagaimanapun mengingatkan skuad kendaliannya supaya tidak memandang mudah cabaran daripada beberapa pasukan baharu yang mampu menggugat peluang mereka meraih kejuaraan seperti PFV dari Vietnam, skuad kebangsaan B-16 India dan wakil China, PFA Guangdong.

Frenz United Malaysia A diundi dalam kumpulan A bersama lima pasukan lain Home United FC (Singapura); PFV (Vietnam); skuad kebangsaan B-16 India dan Timor Leste serta Frenz United Indonesia.

Juara bertahan, Chonburi FC dari Thailand bakal dicabar oleh Frenz United Malaysia B, Lao Toyota (Laos); Mandalay United FC (Myanmar); Phnom Penh Crown FC (Kemboja) dan PFA Guangdong dari China.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan