PKNS Lepaskan Nazmi Faiz Untuk Selangor

Diterbitkan: Isnin, 21 April 2014 7:27 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Khabar angin mengenai perpindahan Muhammad Nazmi Faiz Mansor di akhbar dan dan laman sosial termasuk blog sejak beberapa hari lalu berakhir apabila pemain Harimau Muda itu 'dilepaskan' oleh pasukannya,  PKNS FC untuk menyertai pasukan Selangor.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, perpindahan Muhammad Nazmi ke pasukan yang dianggap 'abang' dipersetujui setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan wakil dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Kami lepaskan Nazmi Faiz demi pembangunan bola sepak Selangor. Walaupun beliau tidak lagi bersama pasukan, saya percaya ia tidak akan menjejaskan semangat dan fokus pemain-pemain lain untuk mengharungi baki saingan liga musim ini. 

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Nazmi dan semoga perpindahan ini menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik seperti yang diharapkan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air,” katanya tanpa mendedahkan nilai perpindahan.

Siti Zubaidah turut menjelaskan PKNS FC dan FAS akan terus bekerjasama dalam pertukaran pemain pada masa depan memandangkan kedua-dua pasukan adalah dari negeri yang sama.

Tahun lalu, Nazmi Faiz, 20, mengejutkan peminat bola sepak Malaysia apabila membuat keputusan untuk meninggalkan kelab Portugal, SC Beira Mar yang diwakilinya selama 6 bulan untuk menyertai PKNS FC.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Pasukan, Mahfizul Abdul Rashid memaklumkan PKNS FC berjaya mengikat kontrak pemain Felda United, Shahurain Abu Samah bagi memantapkan pasukan bagi mengharungi baki perlawanan untuk pusingan kedua Liga Super.

"Kami akan menggunakan masa rehat liga untuk membuat post mortem dan mengenal pasti mana-mana kekurangan yang ada.

"Saya yakin jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan akan memperbaiki segala kelemahan untuk membolehkan kami kembali bangkit apabila liga bersambung nanti,” tambah Mahfizul.

Tags / Kata Kunci: PKNS , Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan