Manchester United Lakukan Apa Yang Arsenal & City Gagal Lakukan

Diterbitkan: Khamis, 20 Mac 2014 9:24 AM

Pemain United meraikan gol jaringan Robin van Persei dalam perlawanan menentang Olympiakos awal pagi Khamis. United menang 3-0 sekaligus layak ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER UNITED yang sedang berhadapan dengan krisis keyakinan diri pada musim yang penuh dengan masalah dan kekalahan ekoran peralihan pucuk pimpinan kelab akhirnya telah melakukan apa yang Arsenal dan City gagal lakukan iaitu melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Mereka mengalahkan juara Greek, Olympiakos 3-0 awal pagi tadi sekaligus mara dengan agregat 3-2.

Robin van Persie yang sedang kemarau gol bangkit dengan jaringan hatrik walaupun pada minit-minit terakhir perlawanan dia terpaksa diusung keluar kerana kecederaan. Tetapi kemudian Pengurus, David Moyes mengesahkan yang kecederaannya tidak serius.

United turun ke padang dengan satu misi paling sukar dalam sejarah kejohanan ini iaitu mesti menang dengan kelebihan tiga gol tanpa balas untuk melayakan mereka ke suku akhir.

Ini kerana pada perlawanan pertama dua minggu lalu di Atherns, mereka tewas 0-2.

Dengan prestasi semasa mereka sekarang, siapapun tidak menaruh harapan yang besar ke atas pasukan ini.

Tetapi dengan si kuda tua Ryan Giggs mengemudi bahagian tengah dan Antonio Valencia memberikan persembahan terbaiknya musim ini, United bangkit dari kekalahan yang memalukan di tangan Liverpool empat hari lalu untuk menumpaskan Olympiakos. 

Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol Sepanyol mereka, David de Gea yang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya Olympiakos. Jika tidak kerana refleksi pantasnya, gawang United sudah tentu bolos sekurang-kurangnya tiga gol yang pastinya melenyapkan harapan United. 

Dengan kemenangan bermaruah ini, setidak-tidaknya United masih berpeluang untuk memenangi satu piala musim ini setelah tersingkir dalam kesemua persaingan domestik termasuklah gelaran juara liga yang mereka sandang musim lalu.

Namun yang lebih penting jaringan van Persie walaupun tidak seartistik Leonel Messi dan Ronaldo serta persembahan menakjubkan Giggs pada usia 40 tahun telah menyelamatkan maruah United dan kerjaya David Moyes.  

Moyes khabarnya telah diberikan tiga perlawanan sahaja lagi untuk mengembalikan keyakinan anggota lembaga pengarah kelab itu ke atasnya dan persembahan United pada tahap terbaik dalam perlawanan ini rasanya telah memadai. 

Pengurus yang berasal dari Scotland itu hanya perlu mengekalkan prestasi dan semangat juang seperti kini untuk terus kekal mengemudi United sekurang-kurangnya sehingga selesai musim ini yang berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi.

Tetapi apa yang turut menakjubkan ialah Giggs masih mampu bertahan selama 90 minit di atas padang dan memberikan yang terbaik seolah-olah beliau masih berusia 20 tahun manakala Wayne Rooney walaupun tidak menjaringkan sebarang gol tetapi hantaran silangnya telah menyumbang kepada gol kedua van Persie.

Berdasarkan statistik, Rooney juga adalah pemain yang paling banyak bergerak dan menguasai padang berbanding rakan-rakannya yang lain.

Man Utd: De Gea 7.5, Rafael 6.5, Jones 6.5, Ferdinand 6, Evra 6.5, Welbeck 8 (Fletcher 82), Giggs 8, Carrick 6.5, Valencia 7 (Young 77, 6), Rooney 7.5, Van Persie 9 (Fellaini 90).

Simpanan: Lindegaard, Hernandez, Kagawa, Januzaj.

Gol: Van Persie 25 pen, 45+1, 52.

Olympiakos: Roberto 6.5, Salino 5.5, Manolas 6, Marcano 5, Holebas 5.5, N'Dinga 6, Maniatis 6.5, Perez 5.5 (Valdez 7, 6), Dominguez 6.5, Fuster 6.5, Campbell 7.

Simpanan: Megyeri, Samaris, Haedo Papadopoulos, Bong Songo.

Pemain Terbaik Perlawanan: Robin van Persie




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan