Diterbitkan: Sabtu, 1 Mac 2014 8:42 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal mengakui bekas pemain pertahanan Piala Dunia Perancis, Marcel Desailly membuat permohonan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Desailly mengisi kekosongan jawatan utama skuad bola sepak kebangsaan yang belum ada pengganti sejak bulan lalu.

"Desailly memang dikenali dan dia ada memohon untuk jawatan ketua jurulatih kebangsaan yang kini dipegang oleh jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee sehingga Jun ini.

"Memang nama dia ada disebut dan disenarai pendek calon-calon jurulatih negara sebelum ini. Kami teruja kerana ramai berminat untuk mengisi jawatan ini dan sudah pasti dalam masa terdekat ini kami akan cuba berjumpa dengannya.

"Memandangkan dia ada di Kuala Lumpur, jadi kami akan berjumpa dengannya secepat mungkin.

"Apa-apa pun itu bukan bermakna dia adalah calon utama kerana kita masih mempunyai ramai lagi calon yang hendak dilihat dengan lebih jelas," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Subahan berkata, pihak FAM tidak terburu-buru untuk mencari pengganti Datuk K.Rajagobal yang tamat kontraknya bersama skuad Harimau Malaya Disember lalu.

"Kita sedia maklum bahawa sekarang telah ada jurulatih sementara (Kim Swee) yang menguruskan skuad negara. Kita tidak mahu kacau Kim Swee kerana ada tugas yang perlu diberikan fokus.

"Sabtu ini kita akan bertemu Vietnam bagi perlawanan persahabatan sebelum ke Yaman bagi aksi Kelayakan Piala Konfederasi Asia (AFC) pada 22 Mac ini.

"Jadi kita tidak perlu tergesa-gesa mencari jurulatih baharu. Mungkin sentuhan Kim Swee bersama skuad Harimau Malaya memuaskan sekaligus mampu memikul tugas itu secara tetap. Kita belum tahu," katanya.

Tambah Subahan, mencari jurulatih yang memenuhi kriteria-kriteria yang dikehendaki bukanlah sesuatu yang mudah.

"Sebelum ini kami telah berjumpa dengan orang yang sesuai (Philippe Troussier), namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat, jadi ia tidak berlaku.

"Kami mencari seorang jurulatih yang bukan sahaja boleh mengendalikan skuad negara, tetapi penting juga dalam pembabitan pasukan-pasukan muda seperti Harimau Muda A, B, dan C.

"Seseorang itu boleh membantu dalam perlaksanaan program-program peringkat akar umbi kerana pemain-pemain muda inilah yang akan diserapkan ke dalam skuad utama," jelasnya.

Dalam pada itu, Subahan turut mendedahkan terdapat dua calon lagi yang menjadi perhatian pihaknya.

"Selain Desailly, ada dua nama yang kami mungkin akan ketengahkan iaitu seorang lagi bekas pemain Perancis, Jean Pierre Papin dan bekas jurulatih Uzbekistan serta India, Bobby Houghton.

"Ingin saya tekankan bahawa, seseorang pemain yang bagus, tidak semestinya menjadi jurulatih yang bagus. Masih ada masa, dan kami akan cuba meneliti setiap calon sebaik mungkin," tambahnya.


Tags / Kata Kunci: FAM , Subahan , Desailly

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan