Liga Malaysia 2014: Annuar Yakin Pemain Baharu Lonjak Kelantan

Diterbitkan: Rabu, 27 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan Kelantan mampu melonjakkan prestasi mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau berkata kepulangan bekas pemain importnya yang merupakan pemain antarabangsa Lubnan, Mohamed Ghaddar mampu memperkuat pasukan berkenaan yang kehilangan beberapa pemain utama yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain.

"Kita akui agak mencabar bagi pihak pengurusan pasukan Kelantan apabila begitu ramai tonggak utama kita yang memilih haluan lain termasuk jurulatihnya (Bojan Hodak).

"Kita tahu beberapa perpindahan beberapa pemain utama (musim lepas) sudah memberikan kesan kepada pasukan musim ini di mana pasukan terumbang ambing sebelum kembali stabil," katanya dalam sidang media bagi memperkenal skuad Kelantan untuk musim 2014 di Bangunan Mara, di sini, Selasa.

Pasukan The Red Warriors berjaya mengikat pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2012 dari Selangor, Francis Forkey Doe selain bekas pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Shawky.

Gergasi Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda A (bawah 23 tahun), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria; Mohd Nazri Ahmad (Johor Darul Takzim); Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan); Amar Rohidan (Felda United); Tengku Hasbullah Raja Hassan (Kedah) dan Famirul Asyraf Sayuti (Sime Darby FC).

Annuar berkata pengurusan pasukan sedang menilai tiga lagi pemain sebelum mendaftarkan keseluruhan 27 pemain sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir pada 17 Disember ini.

Kesemua pemain berkenaan akan melaporkan diri kepada Ketua jurulatih baharu, Steve Darby untuk menjalani sesi latihan pertama pada Khamis ini dan disambung semula pada 2 Disember ini memandangkan Darby perlu menghadiri taklimat Liga Malaysia 2014 di Shah Alam pada 30 November ini.

Pasukan berkenaan dijangka beraksi dalam tiga aksi persahabatan di Pulau Pinang sebelum ke Hanoi, Vietnam untuk menyertai Kejohanan Kejuaraan Kelab-Kelab Asean selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia memilih Kelantan selaku wakil Malaysia.

"Kita juga merancang untuk mengadakan siri persahabatan (dengan pasukan kelab) sama ada di Indonesia atau di Thailand tapi kemungkinan di Banjarmasin, Indonesia.

"Saya berharap latihan pramusim selama enam minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih untuk memantapkan pasukan kita dan saya harap tempoh berkenaan mencukupi untuk Darby menggarap sebuah pasukan mantap," kata Annuar sambil tidak meletakkan sebarang sasaran untuk Kelantan, musim depan.

Sementara itu, Darby yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Kelantan mahu pemain berjuang mendapatkan tempat jika mahu kekal dalam barisan kesebelasan utama pasukan.

"Bagi saya, jika pemain mahu menang mana-mana kejohanan, seluruh pasukan perlu menyumbang dan bekerjasama," kata jurulatih dari Britain itu yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Senarai Pemain Kelantan 2014:

Khairul Fahmi Che Mat (pembantu kapten I), Mohd Syazwan Yussof, Shahrizan Ismail, Obinna Nwaneri (pembantu kapten II), Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Farisham Ismail, Nazri Ahmad, Zairul Fitree Ishak, Khairul Izuan Rosli, Tuan Mohd Faim Tun Zainal Abidin, Mohd Badhri Radzi (kapten), Ahmad Fakri Saarani, Aziz Ismail, Faizol Nazlin, Faiz Shuhaimi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Ahmad Shakir Ali, Brendan Gan, Amar Rohidan, Famirul Asyraf Sayuti, Francis Forkey Doe, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan