England Akan Turunkan Sturridge & Adam Lallana

Diterbitkan: Rabu, 20 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ENGLAND akan turun menentang musuh tradisi mereka Jerman pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley, London, awal pagi Rabu (waktu Malaysia) dengan menurunkan dua bintang muda iaitu Daniel Sturridge dan Adam Lallana.

Pengurus England, Roy Hodgson mengesahkan yang penyerang Liverpool itu telah pulih dari kecederaan pahanya.

Bintang baru Southampton, Adam Lallana akan dikekalkan beraksi di posisi sayap kiri selepas dia diturunkan buat pertama kalinya menentang Chile, Jumaat lalu.

Kyle Walker, Chris Smalling, Phil Jagielka dan Ashley Cole akan membarisi benteng pertahanan England sementara Joe Hart yang berhadapan dengan krisis keyakinan diri selepas digugurkan sebagai penjaga gol nombor satu Manchester City, akan kembali menyarung jersi kebangsaan.

Di bahagian tengah pula, Hodgson mengesahkan yang dia akan menurunkan pemain Tottenham, Andros Townsend, kapten Liverpool, Steven Gerrard, pemain Manchester United, Tom Cleverley dan Lallana.

Wayne Rooney akan bermain di belakang Sturridge dalam barisan serangan.

Sementara itu, Pengurus Jerman, Joachim Löw menolak dakwaan keputusannya untuk merehatkan beberapa pemain senior adalah satu penghinaan untuk England.

Philipp Lahm, Mesut Özil dan Manuel Neuer, semuanya direhatkan selepas mereka seri 1-1 dengan Itali, Jumaat lalu.

Dalam perlawanan persahabatan itu juga, Sami Khedira telah mengalami kekoyakan pada otot lutut yang menyaksikan peluangnya beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2014 sekaligus terjejas.

"Saya perlu dan terpaksa mencuba beberapa pemain baru dalam dua perlawanan persahabatan ini (Itali dan England) bukannya saya menurunkan pasukan B," ujar pengurus Jerman itu lagi.

Beliau memutuskan untuk mencuba penjaga gol simpnana, Roman Weidenfeller, pemain tengah, Sven Bender, bek kiri, Marcel Schmelzer dan bek tengah Jérôme Boateng dan Mats Hummels.

Beliau menyifatkan Frank Lampard, Steven Gerrard dan Wayne Rooney sebagai pemain yang boleh mengubah rentak permainan dan penentu kemenangan.

"Roy Hodgson sendiri adalah seorang jurulatih yang hebat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan