Dollah Hadapi Kesukaran Tentukan Kesebelasan Utama Pemain Pahang

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pahang menghadapi kesukaran bagi menentukan barisan kesebelasan utama pemain untuk diturunkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Shah Alam hujung minggu ini.

Perkara itu diakui sendiri ketua jurulatihnya Dollah Salleh setelah melihat prestasi yang baik ditunjukkan setiap lapisan pemain skuad Tok Gajah.

"Saya agak sukar untuk menyenaraikan 18 pemain dalam perlawanan akhir itu lebih-lebih lagi untuk menentukan kesebelasan pemain utama setelah rata-rata pemain menunjukkan sentuhan terbaik dalam sesi latihan.

"Saya rasa sungguh gembira dengan apa yang telah mereka tunjukkan cuma macam saya cakap tadi agak sukar nak senaraikan nama kesebelasan terbaik," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi latihan di sini, Rabu.

Ditambah pula, katanya, dengan kecederaan yang dialami pemain import Matias Ruben Conti yang boleh dianggap telah pulih sepenuhnya dengan kemungkinan besar beliau akan dapat beraksi dalam perlawanan akhir nanti.

Bagaimanapun, katanya, pemain dari Argentina itu tidak menjalani sesi latihan penuh pada hari ini dengan hanya menjalani latihan ringan untuk melihat keadaannya dan berdasarkan prestasi semasa, pemain itu dijangka akan dapat menjalani latihan penuh, Khamis.

Dalam pada itu Dollah begitu yakin dengan prestasi anak didiknya bagi membuat satu kejutan pada perlawanan akhir nanti walaupun mengakui pengalaman Kelantan dilihat lebih baik yang akan beraksi buat kali kelima berturut-turut dalam pentas akhir.

Katanya, Pahang yang mempunyai ramai pemain muda dan pertama kali bermain dalam perlawanan akhir dilihat akan dapat memberi satu kekuatan kepada pasukan itu dengan menimbulkan semangat juang yang tinggi.

Pemain begitu bersemangat dalam sesi latihan dengan kesemua mereka menunjukkan kesungguhan bagi menghadapi Kelantan, katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemain Kelantan katanya, beliau tidak menganggap bahagian pertahanan yang dikawal ketat oleh Obinna Nwaneri sebagai masalah kepada Pahang.

Tetapi, katanya, bahagian serangan Kelantan perlu diberi perhatian terutama dengan kelibat tiga pemain pilihan Dickson Nwakaeme, Badhri Radzi dan Indera Putra Mahyuddin yang dilihat tahap persembahan semakin menjadi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pahang , Piala Malaysia , Dollah Salleh , Tok Gajah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan