Tahap Kecederaan Matias Conti Dinilai Pada Rabu - Dollah Salleh - Bola Sepak | mStar

Tahap Kecederaan Matias Conti Dinilai Pada Rabu - Dollah Salleh

Diterbitkan: Selasa, 29 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Prestasi penyerang import Pahang Matias Conti yang dibelenggu kecederaan akan diketahui dalam sesi latihan esok, kata Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh.

Katanya pemain yang berasal dari Argentina itu mengalami bengkak pada buku lali kiri sewaktu perlawanan separuh akhir kedua dengan Sarawak pada Sabtu lepas.

"Berdasarkan pemeriksaan, kecederaan yang dialami Conti tidak serius yang pada awalnya memerlukan tempoh kira-kira dua minggu untuk sembuh dan saya akan menguji Conti esok bagi menilai tahap kecederaaan yang dialaminya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau yakin penyerang itu dapat beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Shah Alam Ahad ini.

Dollah bagaimanapun berkata sekiranya Conti tidak dapat diturunkan beliau masih memiliki penyerang lain dilihat yang mampu mengambil alih peranan Conti.

"Selain Conti, kesemua pemain berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada sebarang penggantungan dan keseluruhannya skuad Tok Gajah telah bersedia sepenuhnya untuk mencipta kejayaan pada Ahad ini," katanya.

Justeru, beliau meminta anak buahnya memanfaatkan 90 minit perlawanan dengan sebaiknya untuk bergelar juara selepas Pahang melakukannya pada 1983 dan 1992.

Pahang juga menjadi naib juara Piala Malaysia pada 1984, 1994, 1995 dan kali terakhir 16 tahun lepas. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan