Perak Umum Jurulatih Baharu Namun Isu Azraai Khor Belum Selesai - Bola Sepak | mStar

Perak Umum Jurulatih Baharu Namun Isu Azraai Khor Belum Selesai

Diterbitkan: Isnin, 21 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) pada Isnin mengumumkan pelantikan bekas pemain negeri Abu Bakar Fadzim sebagai jurulatih baharu skuad Perak musim depan selepas Mohd Azraai Khor Abdullah dikatakan mahu meninggalkan pasukan itu.

Presiden Pafa Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata bagaimanapun ia tidak menyelesaikan isu antara persatuan itu dengan Mohd Azraai kerana beliau masih mempunyai kontrak sehingga Oktober tahun depan.

"Memang Azraai telah membuat perbincangan bersama-sama Timbalan Presiden Pafa (Khairul Azwan Harun) untuk meninggalkan tugasnya.

"Bagaimanapun dalam perbicangan itu, masih ada perkara berhubung terma kontraknya yang belum mencapai persetujuan bersama. Jadi saya anggap perbincangan itu belum muktamad," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Oleh yang demikian, setakat ini belum ada keputusan untuk menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama seperti yang dikatakan oleh Mohd Azraai, katanya.

Zainol Fadzi berkata walaupun Pafa mengumumkan pelantikan Abu Bakar, ia tidak bermakna Mohd Azraai boleh gugur secara automatik daripada persatuan itu.

"Atas nasihat peguam Pafa, kami tidak akan mengeluarkan surat (pelepasan kontrak) selagi tiada ada persetujuan bersama. Azraai perlu mengadakan perbincangan lebih lanjut jika beliau berhasrat untuk meninggalkan Pafa," katanya.

Beliau berkata ini kerana Pafa pernah mengalami situasi seperti itu dan tidak mahu terjerat dalam perkara berkaitan penamatan kontrak pegawainya.

"Saya menghormati keputusan beliau jika benar dia mahu meninggalkan Perak namun Pafa belum lagi membuat keputusan (persetujuan menamatkan kontrak secara bersama). Beliau juga menghebahkan perkara ini lebih awal dan bagi saya ini pendekatan yang tidak betul," katanya.

Sewajarnya perbincangan perlu secara bertulis serta dipersetujui kedua-dua pihak dan ia akan dianggap persetujuan bersama, katanya.

Akhbar pada Isnin melaporkan Mohd Azraai memilih untuk menamatkan kontrak dengan Pafa selepas badan itu memiliki perancangan baharu dalam menghadapi kancah Liga Malaysia musim depan.

Keputusan itu katanya bukan disebabkan rasa kecewa dengan tindakan Pafa yang menggantung tugasnya serta pegawai yang lain selepas mengesyaki berlaku unsur sabotaj dan rasuah baru-baru ini. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan