Gladiators Ubah Pendirian Beraksi Di Laman Sendiri - Bola Sepak | mStar

Gladiators Ubah Pendirian Beraksi Di Laman Sendiri

Diterbitkan: Sabtu, 12 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat memutuskan supaya aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan, Jumaat depan kembali diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pengurus merangkap jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira permintaan pemain dan penyokong skuad 'The Gladiators' yang lebih selesa pertembungan itu di laman sendiri berbanding Stadium Shah Alam.

"Perkara ini dipersetujui sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera (PBAT - Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) setelah mengambil kira beberapa perkara khususnya melibatkan keselesaan pemain dan penyokong kita," katanya.

Sathianathan berkata perkara itu sudah dimaklumkan secara lisan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan permohonan rasmi akan dikemukakan kepada badan induk tersebut pada Jumaat.

ATM, sebelum ini membuat permohonan kepada FAM untuk beraksi di Stadium Shah Alam yang mempunyai kapasiti penonton yang lebih besar dan berdasarkan aspek keselamatan serta sudah mendapat lampu hijau badan induk berkenaan, namun ia tidak dipersetujui barisan pemain Gladiators.

Pemain ATM jelas kurang senang dengan keputusan itu dengan melihatnya seolah-olah memberi kelebihan kepada Kelantan yang mempunyai penyokong ramai dan turut tidak melihat aspek keselamatan menjadi masalah kerana ia boleh dipertingkatkan seandainya perlawanan berlangsung di Stadium MPS.

Sathianathan berkata keselesaan pemain sentiasa menjadi keutamaan dan kelebihan beraksi di venue sendiri yang turut dijadikan gelanggang latihan pasukan ATM, perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Keputusan ini juga dibuat setelah ATM mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa untuk menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai venue perlawanan (menentang Kelantan)," katanya.

Beliau turut menolak andaian bahawa ATM sengaja menukar venue di saat akhir kerana bimbang dengan kebanjiran penyokong Kelantan di Stadium Shah Alam.

"Kita bukan mengelak daripada kehadiran penyokong Kelantan yang ramai berbanding penyokong sendiri sebaliknya bagi memberi lebih keselesaan kepada pemain sendiri," katanya.

Sathianathan berkata anak buahnya sudah bersedia menghadapi cabaran naib juara Piala Malaysia musim lepas itu, dan berharap pertemuan menentang skuad 'The Warriors' itu memihak kepada pasukan Gladiators. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan