Tarikh Undian Bola Sepak Sukan Sea Myanmar 6 November Ini- MOM

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Jumaat mengesahkan bahawa tarikh undian peringkat kumpulan saingan bola sepak Sukan SEA di Myanmar, Disember ini akan diadakan pada 6 November. Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata tarikh undian bagi menentukan saingan merebut ibu segala pingat emas pada temasya itu, yang dikatakan bakal diadakan pada 24 Oktober dan ditunda ke 29 Oktober, hanya khabar angin.

"Saya baru terima penetapan tarikh undian secara rasmi pada Selasa lepas. Tarikh yang dihebahkan sebelum ini hanya perancangan awal ataupun khabar angin sahaja. Penganjur baru menetapkan undian pada 6 November," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain acara bola sepak, Sieh berkata undian bagi beberapa jenis sukan bakal diadakan pada tarikh berkenaan di Naypyitaw iaitu futsal, bola tampar, bola keranjang, polo air, hoki, sepak takraw, pingpong dan memanah.

Acara bola sepak lelaki yang dijadual bermula 1 Dis akan membabitkan saingan dalam dua kumpulan di Yangon dan Naypyitaw manakala saingan separuh akhir dan akhir, pada 18 Disember dan 21 Disember, masing-masing akan berlangsung di Naypyitaw.

Akhbar hari ini melaporkan, sebelum ini penganjur mengumumkan 24 Oktober sebagai tarikh undian acara bola sepak, namun menundanya ke 29 Oktober sebagai tarikh baharu.

Namun perkhabaran tarikh terbaharu pada 6 November ternyata menimbulkan perasaan kurang senang pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang menyifatkan keputusan itu sedikit sebanyak menjejaskan persediaan fasa akhir yang sudah dirancangnya untuk skuad negara itu.

Skuad bawah 23 tahun negara tampil ke Myanmar selaku juara bertahan untuk dua edisi berturut-turut. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan