Piala M'sia: Separuh Akhir Pertama Kelantan Lwn ATM Ditukar Ke Stadium Shah Alam

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Venue perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan pada 18 Oktober ini telah ditukarkan ke Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, perlawanan tersebut dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu gelanggang tuan rumah ATM.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penukaran venue itu adalah atas permintaan ATM selepas mengambil kira jumlah penonton dan soal keselamatan.

Bagaimanapun, sepak mula perlawanan itu kekal pada jam 8.45 malam, katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Stadium MPS mempunyai kapasiti 16,000 penonton manakala Stadium Shah Alam boleh menampung 80,000 penonton.

Stadium Shah Alam juga akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 November ini berikutan penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kerja-kerja penambahbaikan padang di dalam stadium berkenaan.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama, Pahang akan menentang juara Liga Perdana Sarawak pada 19 Oktober ini.

Sementara itu, Hamidin berkata perlawanan akhir Piala Presiden 2013 antara Kelantan dan Perak akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Sabtu ini, mulai 8.45 malam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan