Fergie Dedahkan Kenapa Dia Tolak Tawaran Abramovich Dan Kenapa Moyes Adalah Penganti Yang Sesuai

Diterbitkan: Khamis, 3 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BEKAS PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson mempertahankan calon pengantinya, David Moyes sebagai orang yang paling sesuai untuk mengambilalih jawatan pengurus kelab tersebut dan pada masa yang sama mendedahkan yang pemilik Chelsea, Roman Abramovich pernah menawarnya jawatan pengurus Chelsea sebaik sahaja membeli kelab tersebut pada 2003.

Dalam temuramah pertamanya sejak bersara pada Mei lepas, Ferguson juga menegaskan yang dia tidak mungkin akan kembali ke kerusi lamanya semula walau apa pun yang terjadi.

Ferguson ditemuramah dalam program bual bicara stesen televisyen Amerika PBS.

"Sebenarnya United berada di tangan yang baik di bawah bimbingan David Moyes. Dia akan dapat atasi masalah yang sedang dihadapinya sekarang kerana dia adalah seorang pengurus yang cekap," kata Ferguson.

Beliau mempertahankan Moyes walaupun kedudukan United kini adalah yang terburuk sejak 1989 iaitu di tangga ke-12 liga dengan tewas tiga daripada enam perlawanan pertama musim ini.

United akan berhadapan Shakhtar Donetsk dalam persaingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah malam Rabu.

Ditanya apakah wujudnya sebarang kemungkinan yang dia bersedia kembali semula untuk menyelamatkan United jika keadaan sekarang semakin merosot dan tidak pulih, Ferguson, 71, menjawab: "Saya tidak lagi berminat untuk kembali mengurus sebuah pasukan semula atau terpaksa kembali ke Manchester United untuk mencapai keputusan yang baik."

"Mereka yang berangan-angan untuk melihat saya kembali boleh terus berbuat demikian kerana saya tidak akan berbuat demikian kerana keputusan telah pun dibuat dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk meninggalkan pekerjaan ini. Tidak ada cara untuk saya kembali semula," ujarnya lagi.

Ferguson menegaskan yang tumpuannya kini adalah untuk berehat, melancong dan berjalan-jalan.

Bekas pengurus asal Scotland itu juga turut mendedahkan yang Abramovich pernah menghantar seorang ejen untuk merisik sebarang kemungkinan membawanya ke Stamford Bridge pada tahun 2003.

Bagaimanapun dia menolak peluang tersebut kerana ingin terus kekal mengemudi United.

Pada masa yang sama, Ferguson juga tidak berganjak daripada kenyataan awalnya bahawa penyerang England, Wayne Rooney pernah memohon untuk meninggalkan United sebaik sahaja mereka berjaya merampas kembali kejuaraan liga.

Namun dia kini kagum dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh pemain itu.

Dalam program tersebut Ferguson turut berkongsi rahsia kejayaannya membawa pulang 38 trofi dalam tempoh 26 mengurus United.

Katanya adalah sangat penting untuk seorang pengurus itu tidak menyimpan perasaan dendam terhadap pemainnya dan realiti paling buruk yang perlu diurus oleh seorang pengurus ialah apabila dia menyedari yang pemainnya berada di bawah persembahan terbaik mereka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan