Isu Rasuah: FAM Nafi Laporan Media Pasukan Sarawak Akan Disiasat

Diterbitkan: Selasa, 1 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan laporan media tempatan kononnya pasukan Sarawak akan turut disiasat atas kemungkinan wujud unsur rasuah ketika menang 6-1 ke atas Perak dalam perlawanan kumpulan D Piala Malaysia di Kuching, 21 September lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa isu kemungkinan wujud unsur rasuah dalam skuad Bujang Senang seperti yang disiarkan beberapa media hari ini, tidak pernah dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Integriti ke-11 badan induk itu di Putrajaya, Isnin.

"Ketika ditanya mengenai kemungkinan itu (wujudnya unsur rasuah dalam pasukan Sarawak), Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat sekadar berkata bahawa perkara itu tidak dibincang dan tidak ada sebarang laporan mengenainya," kata Hamidin dalam satu kenyataan Selasa.

Hamidin berkata jika terdapat laporan atau desas-desus mengenai kemungkinan adanya unsur rasuah, barulah Jawatankuasa Integriti FAM akan menyiasat dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"FAM ingin menegaskan bahawa kenyataan Tan Sri Aseh Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Integriti telah disalah tafsir dan memohon jasa baik dan kerjasama pihak media untuk memperbetulkan laporan berkenaan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan," katanya.

Beliau berkata setakat ini, FAM hanya menerima laporan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengenai kemungkinan wujudnya elemen rasuah dalam pasukan tersebut ekoran prestasi kurang baik dalam saingan Piala Malaysia kali ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan