David Moyes & Man Utd: Di Manakah Yang Tidak Kena...

Diterbitkan: Isnin, 30 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGURUS baru Manchester United (Man Utd), David Moyes kini berhadapan dengan tekanan untuk membuktikan yang pemilihannya sebagai pengganti Sir Alex Ferguson bukanlah satu kesilapan.

Pasukan yang diwarisinya dari Ferguson itu kini berada di tangga ke-12 liga iaitu yang terburuk sejak 1989.

Mereka sekadar menang dua kali, seri sekali dan kalah tiga kali.

Kali terakhir Man Utd berada di dalam kedudukan sedemikian, pengurus mereka Ron Atkinson dipecat dan digantikan oleh Ferguson.

Ferguson memerlukan tempoh masa hampir lima tahun untuk memenangi trofinya yang pertama iaitu Piala FA pada musim 1990-91 dan tujuh tahun untuk memenangi kejuaraan liganya yang pertama sejak kelab itu kali terakhir menjuarai liga pada tahun 1967.

Kejayaan & Tiada Apa-Apa

Tetapi kejayaan luar biasa Ferguson memenangi 38 buah trofi untuk United termasuk 13 kejuaraan liga telah meletakkan Moyes berada di dalam tekanan yang luar biasa kerana peminat mengharapkan bekas pengurus Everton itu mampu meneruskan legasi Ferguson sedangkan hakikatnya mereka adalah dua orang pengurus yang berbeza melainkan satu perkara sahaja - kedua-duanya berbangsa Scot.

Barang diingat, Moyes belum pernah memenangi apa-apa sepanjang kariernya sebagai pengurus termasuklah ketika 11 tahun bersama Everton.

Dia tidak pernah merasai nikmat kejuaraan sepertimana yang telah dirasai oleh para peminat United sejak 26 tahun di bawah Ferguson.

Trofi Moyes yang pertama baru berusia sebulan iaitu Piala Komuniti iaitu perlawanan pembuka tirai musim baru.

Namun selepas itu Moyes berhadapan dengan perlawanan-perlawanan yang sukar iaitu menentang Swansea City, Chelsea, Liverpool, Crystal Palace dan Manchester City.

Menjelang perlawanan menentang WBA Sabtu lalu, tekanan yang sedang dihadapinya telah sampai ke kemuncaknya apabila United tewas 1-2.

Ramai yang memberikan pelbagai pandangan mengapa Moyes berada dalam situasi ini tetapi enam yang paling logik kita senaraikan di bawah;

1. Adakah skuad yang diwarisinya sekadar berkualiti sederhana sahaja?

Dua hari selepas tewas buat kali ketiga dalam perlawanan liga, Moyes membuat pengakuan terbuka yang United mungkin tidak dapat bersaing di Eropah kerana mereka kekurangan lima atau enam pemain bertaraf dunia.

Hakikatnya memang benar kerana Anderson, Antonio Valencia, Nani, Tom Cleverley, Alexander Büttner, Chris Smalling, Ashley Young, Shinji Kagawa semuanya masih berhempas pulas untuk memberikan persembahan terbaik pada musim baru ini tetapi masih gagal menyerlah.

2. Pengalaman memang penting tetapi United dipenuhi oleh begitu ramai pemain tua

Bayangkan tiga pemain pilihan utama Moyes di barisan pertahanan iaitu Evra, Vidic dan Ferdinand, kesemuanya berusia lebih 30 tahun.

Di barisan tengah, Michael Carrick dan Ryan Giggs juga telah mencecah umur melebihi 30 tahun malah Giggs akan menyambut ulang tahunnya yang ke-40 November depan.

Dan penyerang pilihan utama mereka, Robin van Persie juga akan berusia 30 tahun tidak lama lagi.

3. Apakah mereka bermain sebagai satu unit?

Inilah persoalan paling besar yang sedang menghantui pasukan di bawah bimbingan David Moyes sekarang. Skuad ini boleh dikatakan secara keseluruhannya skuad yang sama di bawah Ferguson musim lalu.

Mereka adalah skuad juara liga. Mereka memiliki aura tidak menyerah kalah dan mampu menjaringkan gol untuk mencapai kemenangan atau seri walaupun tempoh masa hanya tinggal lima minit sahaja lagi.

Bagaimanapun semangat berjuang hingga ke saat akhir ini tidak kelihatan langsung sepanjang musim ini. Paling nyata dan jelas ialah dalam perlawanan menentang Man City dan WBA Sabtu lalu.

Mereka menyerah kalah dengan begitu mudah sekali.

Hanya Wayne Rooney sahaja yang kelihatan bermati-matian di atas padang.

Barisan pertahanan asyik terdedah dan dipintas dengan begitu mudah oleh pemain-pemain lawan yang lebih muda dan pantas.

Malah barisan tengah dan pertahanan tidak menunjukkan sebarang indikasi yang mereka bermain sebagai satu unit.

4. Tiada gol daripada permainan terbuka sepanjang 450 minit

Sejak Danny Welbeck menjaringkan gol terakhir dalam perlawanan pembukaan yang menyaksikan mereka menang 4-1 ke atas Swansea pada 17 ogos lalu, kesemua gol United yang seterusnya dihasilkan menerusi sepakan percuma atau “dead balls”.

Situasi ini jika berterusan adalah sangat-sangat membimbangkan.

5. Sebenarnya apakah United mempunyai bajet untuk dibelanjakan ke atas pemain bertaraf dunia?

Pada Julai, Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward, berkata jika David Moyes mengenalpasti pemain ternama untuk dibeli, dia boleh sahaja berbuat demikian.

Tetapi sehingga tingkap perpindahan ditutup, United gagal membeli pemain yang benar-benar bertaraf dunia.

Dia telah membeli Fellaini malangnya pemain berbakat besar itu tidak dilihat sebagai seorang yang benar-benar bertaraf dunia sepertimana Gareth Bale atau Ronaldo atau Messi.

6. Situasi mungkin akan bertambah buruk selepas ini

Rabu ini, United akan berhadapan dengan Shakhtar Donetsk dalam peringkat kumpulan Piala Juara-Juara Liga Eropah.

Dalam situasi semasa, kekalahan atau sekadar seri akan terus memberikan tekanan ke atas Moyes dan pasukannya.

Moral pasukan berada di tahap paling rendah sekarang. Seseorang perlu menjaringkan gol dan barisan pertahanan tidak boleh bolos begitu mudah jika tidak semangat akan bertambah rendah dan potensi untuk terus mengalah akan semakin besar.

Sabtu depan, 5 Oktober, United akan menentang pasukan tercorot, Sunderland dalam perlawanan liga. United perlu menang perlawanan itu untuk kembali mendaki tangga liga. Tidak boleh seri atau kalah.

Malah seandainya mereka tewas kepada Sunderland yang juga sedang berjuang mati-matian untuk mengutip kemenangan pertama mereka, United akan benar-benar berada di dalam krisis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan