Futsal IPT: UiTM Berdepan Dengan Saingan Getir - Bola Sepak | mStar

Futsal IPT: UiTM Berdepan Dengan Saingan Getir

Diterbitkan: Jumaat, 27 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdepan laluan getir untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Grand Final Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Menteri Pendidikan 2013 yang dijadual berlangsung di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 9 hingga 13 Oktober ini.

Pada majlis undian di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, di sini, hari ini, UiTM yang merupakan juara bertahan dalam kategori lelaki sejak 2010, diundi bersama pasukan terbaik bahagian zon kebangsaan, Kolej Komuniti Selangor selain Kolej Poly-Tech Mara Bangi dan UiTM Pahang dalam kumpulan C.

Kolej Komuniti Selangor merupakan pasukan terbaik selepas berakhirnya tujuh sirkit peringkat zon kebangsaan dengan kutipan 30 mata daripada 16 pasukan yang layak ke grand final.

Pemenang tempat ketiga tahun lepas, UIA mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Universiti Malaysia Sarawak, Kolej Komuniti Sabah dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Kumpulan B dihuni oleh empat pasukan bukan pilihan iaitu Kolej Komuniti Pahang, Universiti Utara Malaysia, Kolej Komuniti Johor dan Politeknik Merlimau, Melaka.

Naib juara 2010, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula diundi dalam kumpulan D bersama Politeknik Muadzam Shah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Dalam kategori wanita, UiTM yang merupakan juara bertahan sejak 2010 dijangka berdepan saingan sengit daripada naib juara tahun lepas, Politeknik Kota Kinabalu serta Universiti Putra Malaysia dalam kumpulan C.

Pemenang tempat ketiga tahun lepas, UKM mengetuai cabaran dalam kumpulan A bersama UIA dan Universiti Multimedia manakala kumpulan B dihuni oleh naib juara 2011, Universiti Malaya, UTeM dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Saingan kumpulan D pula menyaksikan persaingan tiga pasukan bukan pilihan iaitu UMT, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Kolej Komuniti Sabah.

Sementara itu, Pengurus Pasukan UiTM, Mohd Izwan Osman berharap agar FAM dapat melepaskan beberapa pemain utama pasukan berkenaan yang kini menjalani latihan bersama skuad futsal kebangsaan bagi menghadapi kejohanan kali keempat itu.

"Kita sudah menghantar surat kepada FAM untuk melepaskan beberapa pemain utama kita seperti Mohd Ali Mahat dan Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi kejohanan ini pada bulan depan," katanya.

Menyentuh mengenai peluang pasukan berkenaan, Mohd Izwan berkata beliau optimis gandingan muka-muka lama dan baharu mampu menghadiahkan kejuaraan buat kali keempat pada edisi tahun ini.

Turut hadir pada majlis undian berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Datuk Nasir Mat Dam dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIA, Prof Datuk Dr. Mizan Hitam.

Juara kategori lelaki akan membawa pulang wang tunai RM20,000, naib juara (RM10,000) manakala pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing bakal meraih RM5,000 dan RM3,000.

Johan kategori wanita akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000, naib johan (RM5,000) manakala pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM3,000 dan RM1,000.- BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan