Kim Swee Suntik Semangat Bola Sepak Melaka

Diterbitkan: Khamis, 26 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUNJUNGAN pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee ke pejabat Ketua Menteri Melaka pada Rabu menyuntik semangat baru buat pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) yang bertekad mahu mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak negeri itu.

“MAFA yang kini di bawah pimpinan baru Ketua Menteri Datuk Idris memang dalam perancangan membangunkan kembali bola sepak di Melaka, dan kehadiran Ong Kim Swee di pejabat Ketua Menteri menguatkan lagi semangat kami untuk memastikan pelaksanaannya,” kata Mohd Yusoff Mahadi yang mewakili Presiden MAFA.

“Kim Swee hadir sebagai penasihat dan memberi beberapa idea berkenaan perancangan jangka pendek dan panjang untuk pembangunan bola sepak Melaka. Kami amat menghargai pandangan ikhlasnya sebagai anak negeri yang begitu berjaya di peringkat antarabangsa.

“Saya harap susulan daripada pertemuan ini, MAFA mampu mengorak langkah dalam memastikan Melaka kembali mewarnai kancah bola sepak Malaysia sekali gus bersaing pada peringkat tertinggi pada masa akan datang.”

Sasaran jangka pendek MAFA termasuk memperbaiki kedudukan Melaka yang kini sekadar bersaing di Liga FAM.

"Itu sasaran kami dalam masa terdekat. Kemudian kami mahu memberi penekanan kepada pemain-pemain lingkungan usia 18 hingga 19 tahun yang bakal menjadi teras kepada pasukan untuk tempoh empat hingga lima tahun nanti,” kata Yusoff.

Sementara itu, Kim Swee ketika dihubungi berkata, sebagai anak negeri beliau bersedia berkongsi pengalaman dan pengetahuan untuk membantu MAFA melancarkan misi mereka itu.

"Saya lihat MAFA amat serius dalam perkara ini.

"Saya sekadar memberi pandangan dan cadangan kepada mereka. Berdasarkan perbincangan pagi Rabu saya yakin jika pelan pembangunan itu dilaksanakan sebaiknya, tidak mustahil untuk Melaka kembali menjadi sebuah pasukan besar pada masa akan datang," kata Kim Swee yang baru kembali daripada kejohanan Piala Menpora di Bandung, Indonesia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan