Tuduhan Rasuah: Pafa Gantung Pegawai, Petugas Skuad Liga Super

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) pada Isnin menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

Timbalan Presiden Pafa Khairul Azwan Harun berkata pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis hari ini untuk menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan sabotaj berikutan siri kekalahan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia.

"Kami juga menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai pengerusi jawatankuasa disiplin Pafa Datuk Ismail Saffian untuk menyiasat secara terperinci apa yang kami syaki ini.

"Siasatan akan dijalankan dalam tempoh dua minggu. Mereka akan melaporkan siasatan kepada Jawatankuasa Pengurusan Negeri dan Jawatankuasa Eksekutif Induk Pafa," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata elemen sabotaj dan rasuah bola sepak itu disyaki berlaku dalam skuad kendalian jurulatih Azraai Khor Abdullah itu sejak empat perlawanan Piala Malaysia lepas dan kemuncaknya apabila Perak tewas 1-6 kepada Sarawak di Kuching, Sabtu lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh digantung itu, semua pegawai dan petugas terlibat wajib melapor diri setiap hari di pejabat Pafa di sini mulai Rabu ini manakala pemain juga diminta berbuat demikian pada tarikh sama selain menjalani latihan seperti biasa.

Khairul Azwan berkata semua pemain akan melapor diri kepada ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Pafa Marshall Soper dan ketua jurulatih Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan Football Club (YBUDR FC) Sayuddin Md Isa yang dilantik sebagai jurulatih 'care-taker' berkuatkuasa serta-merta.

"Jika kesemua pegawai, petugas dan pemain gagal melapor diri mulai 25 Sept ini, Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Darurat Pafa akan mengambil tindakan tegas.

"Ini adalah amaran selepas apa yang berlaku di Kuching dan beberapa perlawanan lain yang tidak boleh diterima. Kami boleh terima kekalahan tetapi tidak boleh terima sikap yang ditunjukkan," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat secara kolektif selepas berbincang dan mengambil pandangan anggota majlis Pafa, pihak yang berkepentingan dalam Pafa termasuk beberapa kelab peminat yang berdaftar.

Katanya soal kebajikan tidak perlu dibangkitkan dalam perkara itu kerana selepas Presiden Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengambil alih kepimpinan Pafa pada 2010, segala tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diselesaikan.

Khairul Azwan berkata selepas dua minggu dan meneliti laporan siasat, Pafa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik terhadap mana-mana pihak.

Beliau berkata tiadanya komitmen, kesungguhan dan disiplin juga adalah elemen sabotaj dalam bola sepak yang merosakkan pasukan walaupun elemen rasuah tidak berlaku.

"Saya telah mengurus pasukan sejak 2011. Saya tahu bila mereka benar-benar bermain atau dalam bahasa bola sepak kami kata 'saya tahu bila pemain tarik game dan buka game'. Tiga tahun memberi pengajaran kepada saya, jadi jangan ambil mudah berhubung perkara yang kami bangkitkan ini," katanya.

Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Sept, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak, Sabtu lepas, sekaligus gagal ke peringkat suku akhir.-BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pafa , Liga Super , Khairul Azwan Harun , SPRM

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan