Pafa Sudah Lakukan Yang Terbaik Buat Skuad Liga Super Perak - Bola Sepak | mStar

Pafa Sudah Lakukan Yang Terbaik Buat Skuad Liga Super Perak

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata persatuan itu kecewa dengan sikap pemain skuad Liga Super negeri ini walaupun mereka sudah berusaha menjadi majikan terbaik.

Selain tidak menghadapi sebarang tunggakan gaji atau masalah kebajikan yang lain, Pafa memastikan skuad Liga Super negeri Perak menerima bonus kemenangan dalam bentuk wang tunai bagi beberapa perlawanan penting walaupun ia tidak dijanjikan dalam kontrak, katanya.

Zainol Fadzi berkata persatuan itu membelanjakan RM4 juta pada setiap musim untuk pasukan Liga Super sahaja berbanding peruntukan lebih kecil kepada skuad Piala Presiden.

"Pafa memerlukan hampir RM5 juta setiap musim, RM4 juta daripada jumlah itu adalah untuk pasukan Liga Super sahaja, bayangkan berapa banyak sumber kewangan yang perlu kita cari untuk memastikan pasukan Perak dapat menyertai Liga Super. Dana yang begitu besar untuk tubuhkan pasukan Liga Super, sudah tentu pengurusan Pafa amat kecewa jika insiden sabotaj dan rasuah ini berlaku," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Pada Isnin, Pafa menggantung kesemua pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku elemen rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

Beliau berkata selain itu ada pemain skuad 'Kejor Yob Kejor' menerima bayaran gaji melebihi RM20,000 sebulan manakala pemain lain purata menerima lingkungan RM7,000 hingga RM10,000.

Ia belum ditambah dengan bonus kemenangan bagi setiap perlawanan penting yang mana Pafa sentiasa bersetuju membayar termasuk meningkatkan nilainya, katanya.

"Daripada segi layanan pula, saya tidak mahu beritahu berapa angka yang pernah kita naikkan untuk sesetengah perlawanan penting, kita setuju beri untuk puaskan hati penyokong, kita naikkan, tiada masalah. Ada juga perlawanan yang kurang penting, bila menang kita bagi bonus kepada mereka.

"Sedangkan pada saya apabila masuk profesional ini, kita tidak perlu semua bonus ini, kita kena main sebab gaji sudah dibayar lumayan. Kenapa perlu bonus setiap perlawanan. Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga, apa lagi yang pemain mahu, mereka harapkan seperti bonus, baru nak main sungguh-sungguh. Ini tidak adil kepada Pafa," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan persembahan hambar pemain adalah disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan pengurusan Pafa, Zainol Fadzi berkata hubungan antara pengurusan dengan pemain amat akrab.

"Jadi, kalau hari ini tiba-tiba mereka kata ada masalah, saya terkejutlah, kenapa baru hari ini ada masalah. Kalau kira masalah, kita tengok pasukan Piala Presiden, sepatutnya kalau nak ada masalah, pasukan ini yang akan ada lebih masalah dari segi kedudukan gaji yang rendah, tetapi pemain Liga Super majoritinya ada gaji lumayan," katanya.

Beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab dengan meletak jawatan walaupun mengetahui ada desakan sedemikian.

Sejak beliau mengambil alih kepimpinan Pafa pada 2010 semua masalah terutama bebanan hutang termasuk tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat diselesaikan secara berperingkat-peringkat sehingga hari ini, katanya.

Zainol Fadzi berkata Pafa cuba menjadi majikan terbaik dengan melayan kehendak pemain dan apabila skuad Liga Super tewas dalam perlawanan, ia adalah satu keputusan yang mengecewakan.

Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Sept, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak, Sabtu lepas, sekaligus gagal ke peringkat suku akhir. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan