Gaji Lumayan Pemain Bola Sepak Negara Petanda Positif - Yakeb

Diterbitkan: Selasa, 24 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Gaji lumayan yang diterima oleh pemain bola sepak di negara ini sehingga ada yang mencecah RM85,000 sebulan merupakan petanda positif dalam perkembangan bola sepak tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Jamil Salleh berkata gaji tinggi sedemikian menuntut pemain mempamerkan kemahiran dan kemampuan yang setimpal.

"Saya juga harap mereka (pemain bola sepak) yang menerima gaji lumayan supaya dapat merencana masa depan mereka dengan sebaik mungkin supaya tidak melarat pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau sebelum itu menyerahkan bayaran pampasan insurans hayat berkelompok berjumlah RM31,000 kepada Saleha Omar, 30, balu kepada bekas atlet sepak takraw negara Mohd Fauzi Ghazali yang meninggal dunia pada 24 Ogos lepas.

"Saya tidak mahu ada pemain yang ketika ini, hidup dengan mewah kerana pendapatan lumayan diterimanya tetapi nanti terpaksa meminta-minta disebabkan tidak mempunyai simpanan atau bekalan masa depan," kata Jamil yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar mengenai pemain Selangor Mohd Amri Yahyah ditawarkan gaji RM1 juta setahun oleh sebuah pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Selain Amri, beberapa pemain pasukan Gergasi Merah Kuning itu dikatakan akan meninggalkan pasukan berkenaan susulan tawaran gaji yang lumayan. Difahamkan gaji tertinggi pemain Selangor ketika ini ialah RM32,000 sebulan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan