Man Utd Dimalukan Oleh City Tewas 1-4

Diterbitkan: Isnin, 23 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rooney (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Rooney (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan.

JUARA bertahan, Manchester United dibuli dan dimalukan oleh jiran mereka, Manchester City apabila tewas 1-4 dalam perlawanan liga lewat Ahad.

Ini adalah kekalahan terburuk United di Stadium Etihad sejak 2004.

Penyerang Argentina yang juga menantu Diego Maradona, Sergio Aguero menjaringkan dua gol manakala Yaya Toure dan Samir Nasri menambah dua gol lagi untuk memalukan United yang bermain tanpa penyerang utama mereka, Robin van Persie yang tercedera.

Wayne Rooney menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma untuk menutup aib United namun sudah terlewat bagi mengubah keadaan yang tertekan itu.

Ini juga adalah kemenangan pertama buat pengurus baru City, Manuel Pellegrini ke atas United.

Tapi bagi pengurus United, David Moyes kekalahan ini tidaklah seburuk mana jika dibandingkan kekalahan yang ditanggung oleh Sir Alex Ferguson, 5-1 di Maine Road (stadium lama City) pada tahun 1989, sebelum era kegemilangannya bermula.

Ferguson tidak menonton perlawanan ini kerana sedang bercuti di Amerika Syarikat sejak Jumaat.

Apa pun pertahanan United dalam perlawanan ini amat teruk sekali jika dilihat dari sudut bagaimana mereka membiarkan Aguero bermaharaja lela tanpa pengawasan di depan petak gol.

Tidak cukup dengan itu, barisan tengah mereka gagal melakukan gerakan dan lontaran pantas walaupun dengan kehadiran pemain baru bernilai £27.5 juta, Marouane Fellaini.

Fellaini kelihatan melakukan hantaran-hantaran yang tepat pada separuh masa kedua tetapi secara keseluruhannya mereka kekurangan daya imaginasi dan tidak sepantas City dalam membuat serangan balas.

Menjelang separuh masa pertama, United sudah ketinggalan 0-2 dan sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, City menambah jaringan mereka kepada 3-0 dan selepas itu 4-0 sebelum Rooney menjaringkan gol untuk mengurangkan defisit kekalahan United.

Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang kedua-duanya sudah mencecah usia melebihi 30 tahun gagal mengekang gerakan-gerakan pantas Samir Nasri, Aguero dan juga penyerang Sepanyol, Negredo.

Negredo khususnya bermain cemerlang dan hanya tidak bernasib baik untuk menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan ini.

Perlawanan pantas seperti ini sudah tidak lagi dapat dikawal dan dibendung oleh pemain-pemain berumur seperti Vidic dan Ferdinand.

Ini adalah kekalahan kedua liga buat David Moyes yang sekaligus menyaksikan kedudukan United jatuh di tangga kelapan liga.

MAN CITY: Hart 7, Zabaleta 7, Kompany 7, Nastasic 7, Kolarov 7, Jesus Navas 8 (Milner 71, 6), Toure 8, Fernandinho 8, Nasri 9, Aguero 8 (Javi Garcia 86), Negredo 8 (Dzeko 75).

Pemain simpanan tidak digunakan: Richards, Lescott, Pantilimon, Jovetic.

Gol; Aguero 16, Toure 45, Aguero 47, Nasri 50.

MAN UTD: De Gea 5, Smalling 6, Ferdinand 6, Vidic 5, Evra 6, Carrick 6, Fellaini 5, Valencia 5, Rooney 6, Young 5 (Cleverley 51 6), Welbeck 6.

Pemain simpanan tidak digunakan; Evans, Hernandez, Nani, Kagawa, Buttner, Amos.

Gol: Rooney 87.

PENGADIL: Howard Webb.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan