Ujian Sebenar Menanti David Moyes Awal Pagi Ini

Diterbitkan: Rabu, 18 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

David Moyes
David Moyes

DAVID Moyes pengurus baru Manchester United belum pernah merasai saat-saat indah menjulang trofi sepanjang 11 tahun dia bersama Everton.

Tetapi pada 11 Ogos lalu, dia menjulang piala pertama dalam kariernya sebagai pengurus iaitu Piala Sumbangsih selepas United menewaskan Wigan 2-0.

Namun ujian sebenar buat Moyes bukannya Piala Sumbangsih. Ujian yang sebenar buatnya ialah Liga Juara-Juara Eropah yang akan bermula awal pagi ini dengan menentang wakil Jerman, Bayer Leverkusen.

Leverkusen kini dilatih oleh bekas pemain dan kapten Liverpool, Sami Hyypia.

Untungnya, perlawanan pembuka tirai musim bolasepak Eropah buah United ialah di Old Trafford.

Jadi Moyes boleh berasa sedikit lega kerana pasukan bimbingannya akan mendapat sorakan dan tiupan semangat para penyokong mereka sendiri.

Yang merisaukan ialah pengalaman Moyes dalam mengendalikan pertandingan di peringkat elit Eropah sangat-sangat minima.

Dia hanya pernah mengemudi dua perlawanan sahaja di peringkat ini ketika bersama Everton dahulu iaitu pada tahun 2005.

Dalam perlawanan tersebut, Everton tumpas kepada Villareal 2-4 dalam perlawanan di peringkat kelayakan.

Bersama United, inilah perlawanan di peringkat kumpulan yang pertama buatnya. Moyes belum pernah melangkaui peringkat ini sepanjang sejarah kariernya sebagai seorang pengurus.

Cabaran yang digalasnya kali ini sangatlah besar dan berat kerana semua mata kini benar-benar memandang ke arahnya serta bagaimana bentuk strategi yang bakal dilaksanakan di atas padang.

United diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Shakhtar Donetsk dan Real Sociedad.

Para pemerhati menganggap, lain-lain pasukan dalam kumpulan ini tidak begitu mengancam tetapi dalam bolasepak, tiada apa yang boleh dipandang ringan.

Leverkusen juga tidak harus dipandang remeh kerana mereka menduduki tangga ketiga Liga Jerman musim lepas.

Malah mereka memulakan musim baru dengan cemerlang - dengan memenangi empat daripada lima perlawanan pertama. Hanya juara liga, Bayern Munich dan Borussia Dortmund yang berada di atas mereka buat masa ini.

Mengenai persiapan United, awal pagi ini (perlawanan akan bermula jam 2.45 pagi nanti - siaran langsung Astro 816) Moyes bagaimanapun tidak dapat menurunkan Nani kerana dia telah dilayangkan kad merah ketika bertemu Real Madrid musim lalu.

Moyes juga akan berhadapan dengan masalah kritikal di bahagian pertahanan kerana Phil Jones dan Rafael da Silva masih lagi diganggu kecederaan lutut.

Di samping itu, Moyes juga akan turut dihantui oleh sejarah silam kelab barunya ini.

Sebelas tahun lalu, United telah ditewaskan oleh Leverkusen di peringkat separuh akhir untuk bertemu dengan Real Madrid di perlawanan akhir.

Pada ketika itu, Moyes baru di tahun pertama bersama Everton.

Kini di tangannya, Moyes tidak mahu sejarah yang sama berulang lebih-lebih lagi baru di peringkat awal kumpulan.

Apatah pula, inilah perlawanan pertama United di peringkat Eropah tanpa Sir Alex Ferguson di atas padang.

Untuk itu kita semua ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Moyes dan keseluruhan anak buahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan