Piala Malaysia: Kelantan Tewaskan Terengganu 3-1

Diterbitkan: Rabu, 18 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Terengganu 3-1 dalam perlawanan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa malam.

Kesilapan yang dilakukan oleh kapten pasukan Terengganu, Hasmizan Kamarodin mengundang padah kepada Skuad Penyu apabila beliau menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27.

Indra Putra Mahayuddin kemudiannya menggandakan jaringan Kelantan pada minit ke-53.

Skuad Penyu mengurangkan defisit jaringan menerusi Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-75 namun kegembiraan Terengganu tidak kekal lama apabila Mohd Badhri Radzi mengesahkan kemenangan bagi pasukan 'The Red Warriors' pada minit ke-85.

Pahang yang beraksi dalam kumpulan C turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tiga gol pasukan Tok Gajah itu dihasilkan oleh Matías Ruben Conti pada minit ke-50, R.Gopinathan (minit ke-70) dan Azidan Sarudin (minit ke-83).

Dalam saingan kumpulan A, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 1-1 kepada Selangor di di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

ATM bermula garang apabila pemain importnya Marlon Alex James menjaringkan gol pada minit ke-37, manakala Mohd Fitri Shazwan Raduwan menyamakan kedudukan pada minit ke-74.

Johor turut mencatat keputusan seri 2-2 kepada Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang beraksi dalam kumpulan B pula mencatat kemenangan selesa selepas mengalahkan Felda United 5-2 di Stadium Mini Temerloh, Pahang.

Di Stadium Shah Alam pula, Selangor PKNS berpesta gol selepas membelasah T-Team 5-0.

Pada perlawanan kumpulan B , Kedah mencipta kemenangan pertama selepas menang tipis 1-0 kepada Perak di Stadium Perak, Ipoh. Gol tunggal Kedah disumbangkan oleh Nelson San Martin pada minit ke-90.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan