Skuad Harimau Muda Lulus Ujian Pertama Pada Pestabola Merdeka

Diterbitkan: Isnin, 16 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kejayaan merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka ke-41 di sini, Sabtu telah berjaya menguji keupayaan barisan pemain skuad Harimau Muda A selepas berkampung hampir enam bulan di Eropah sejak Mac lepas.

Ternyata, keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar skuad pasukan itu ke benua Eropah membuahkan hasil apabila anak buah Ong Kim Swee menampilkan persembahan terpuji dalam kejohanan empat negara itu.

Kemenangan 2-0 ke atas Myanmar pada final turut membuktikan bahawa kejayaan itu bukan sekadar nasib tetapi usaha keras pemain dan perancangan Kim Swee memantapkan sistem permainan pasukan.

Menyingkap kembali perjalanan skuad negara pada pusingan awal kejohanan itu, Malaysia membuka kempen dengan menundukkan Singapura 1-0, membenam Myanmar 2-1 dan melengkapkan jadual dengan mengetepikan Thailand 3-0.

Pada final, pemain negara tidak mengikut emosi malah mematuhi segala arahan Kim Swee untuk mengekang gerakan pantas dan bahaya oleh jentera serangan Myanmar.

Sebalik menyajikan perlawanan defensif, skuad negara melakukan perubahan dramatik dengan mengatur gerakan kemas dan sentiasa mematahkan serangan balas lawan.

Hampir 30,000 penyokong tempatan di stadium pada aksi final ternyata tidak hampa dengan kelibat pemain muda negara mengasak kubu lawan.

Kelebihan beraksi di halaman sendiri bukan menjadi faktor utama kejayaan skuad negara malah sistem permainan yang mantap dan konsisten serta semangat setiap pemain dalam kesebelasan utama menjadi penentu.

Kejohanan ini kena pada masa ketika empat pasukan itu akan bersaing dalam Sukan SEA Myanmar, Disember ini, dengan misi skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Indonesia pada 2011.

Semua empat pasukan itu berpeluang melihat, mengkaji dan menilai keupayaan masing-masing sebelum memperbaiki kelemahan serta mengatur strategi dalam Sukan SEA Myanmar.

Selain empat pasukan itu, Malaysia perlu menilai kemampuan skuad Indonesia, Vietnam dan Kemboja pada temasya dwitahunan itu.

Keputusan Kim Swee memanggil lapan pemain 'luar' untuk memperkuatkan pasukan berkenaan ternyata tepat terutamanya aksi menarik pemain kelab Divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor serta pemain Sarawak, Putera Nadher yang banyak mengucar-kacirkan benteng lawan.

"Bagi saya, bukan sahaja dua pemain ini malahan semua pemain menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang kejohanan kerana mereka sentiasa berusaha merebut tempat dalam skuad ini ke Sukan SEA," kata Kim Swee.

Ketiadaan pasukan luar Asean seperti dari benua Eropah, Afrika, Timur Tengah serta pasukan gergasi Asia Korea Selatan dan Jepun dikatakan memberi impak mendalam terutama dari segi kehadiran penyokong.

Perkara berkenaan bagaimanapun disanggah oleh Kim Swee yang menyifatkan kejohanan berkenaan adalah medan terbaik untuk mendedahkan pasukan bertanding ke Sukan SEA di Myanmar.

Tidak keterlaluan untuk memberikan perhargaan yang lebih besar kepada Kim Swee di atas usaha cemerlang beliau membawa skuad Harimau Muda A menjulang beberapa kejuaraan sejak beberapa tahun lepas.

Bermula dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia, Kim Swee terus mengorak langkah ke hadapan dengan membantu pasukan berkenaan muncul juara Piala Newspaper di Vietnam dan Piala SCTV di Indonesia pada 2012.

Sentuhan magis yang dibawa oleh Kim Swee nyata menjadi azimat terbaik buat skuad muda negara untuk terus mengharumkan nama negara, lebih-lebih lagi dalam mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan