Ridzuan Tidak Mahu Pemain NS Dibuai Mimpi - Bola Sepak | mStar

Ridzuan Tidak Mahu Pemain NS Dibuai Mimpi

Diterbitkan: Isnin, 16 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Ridzuan Abu Shah tidak mahu anak buahnya dibuai mimpi dengan status pendahulu Kumpulan C dalam kempen Piala Malaysia.

Sebaliknya, beliau mahu pemain skuad Rusa itu terus mengekalkan momentum serta memberi tumpuan sepenuh pada perlawanan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selasa ini.

Biarpun mendahului saingan kumpulan dengan tujuh mata, pemain tidak boleh mendabik dada terlalu awal kerana misi ke saingan suku akhir belum selesai, katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Bagaimanapun, Ridzuan gembira dengan peningkatkan prestasi pemain apabila melakarkan dua kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Beliau berkata pencapaian ini sudah pasti menyemarakkan semangat pemain untuk memburu kemenangan ketiga bagi mengukuhkan kedudukan serta membuka peluang melangkah ke suku akhir.

Mengenai pertemuan dengan Pahang, Ridzuan berkata mereka sudah bertekad untuk mengekalkan prestasi cemerlang di tempat lawan sama seperti ketika menewaskan Terengganu dan Kelantan di gelanggang lawan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pertemuan itu bukan mudah namun berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata untuk memudahkan laluan ke suku akhir.

"Misi meraih satu mata ini bukan mustahil dicapai jika pemain dapat melaksanakan tugas seperti mana dirancang," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan