Jangan Jadikan Isu Elaun Alasan Prestasi Takraw Merosot - MSN

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu pembayaran elaun bulanan yang rendah kepada pemain sepak takraw tidak boleh dijadikan alasan kepada kemerosotan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa, demikian ditegaskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebaliknya, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong berkata bukan semua pemain sepak takraw dibayar elaun serendah RM500 malah ada yang menerima antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.

Beliau berkata semua atlet baharu tanpa mengira acara sukan dibayar elaun RM500 sebulan tetapi jumlah itu berubah mengikut pencapaian atlet berkenaan di peringkat antarabangsa.

Misalnya, katanya atlet yang merangkul emas di Sukan SEA menerima elaun RM1,500 sebulan dan RM2,500 bagi peringkat Sukan Asia. "Elaun ini tidak termasuk insentif kemenangan lain," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail bahawa elaun kecil menjadi punca utama kegagalan skuad negara di peringkat antarabangsa.

Zolkples berkata beberapa muka baharu dalam skuad hoki negara turut menerima elaun RM500 sebulan walaupun mereka melangkah ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun tahun depan.

"Atlet atau persatuan sukan lain tidak pernah merungut tentang elaun yang disalurkan menerusi MSN sebelum ini, walhal prestasi mereka jauh lebih baik berbanding PSM," katanya.

"Jika benar PSM prihatin terhadap kebajikan pemain, ke mana mereka belanjakan wang hasil penajaan berjuta ringgit yang diperoleh sebelum ini. Adakah atlet dapat rasai bersama hasil tersebut?," katanya.

Zolkples meminta PSM supaya jangan menunding jari kepada pihak lain atas kelemahan dan kesilapan sendiri.

Menurutnya MSN telah banyak memberi layanan istimewa kepada PSM berbanding persatuan lain termasuk menjadi antara sukan dengan bilangan jurulatih paling ramai selepas badminton, iaitu sembilan orang.

Sementara itu, lagenda sepak takraw kebangsaan Adnan Saidin berkata atlet pada zaman kegemilangannya tidak mendapat sebarang elaun bulanan melainkan elaun harian mengikut peruntukan kejohanan yang disertai.

Bagi Adnan, pemain sekarang dianggap lebih bertuah dengan pelbagai peruntukan yang disediakan oleh MSN. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: MSN , Datuk Seri Zolkples Embong , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan