Pestabola Merdeka: Misi Serampang Dua Mata Skuad Harimau Muda A

Diterbitkan: Jumaat, 6 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kejohanan bola sepak tertua di Asia, Pestabola Merdeka, kembali menghiasi kalendar sukan negara tahun ini selepas kali terakhir dianjurkan pada 2008.

Buat julung kali edisi ke-41 kejohanan tahun ini akan diadakan di luar Kuala Lumpur dan hanya disertai oleh empat negara Asean iaitu Singapura, Thailand, Myanmar dan skuad Harimau Muda A (pasukan bawah 23 tahun).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selaku penganjur, mempelawa skuad bawah 23 tahun Maynmar bagi menggantikan Jordan yang menarik diri daripada kejohanan yang penuh nostalgia itu.

Pahang diberi penghormatan menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu di dua venue iaitu Stadium Darul Makmur di sini dan Stadium Mini Temerloh yang menghoskan perlawanan tunggal melibatkan Singapura dan Myanmar pada 11 September ini.

Kejohanan kali ini boleh dianggap sebagai medan pemanas badan buat empat negara berkenaan sebelum menghadapi Sukan SEA di Myanmar, dari 11 hingga 22 Disember ini.

Skuad Harimau Muda A yang dalam rangka persiapan untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA turut berdepan dengan misi getir mengulangi pencapaian juara yang diraih skuad sama pada 2007.

Pasukan B-23 kebangsaan kendalian B. Sathianathan ketika itu, mencipta sejarah tersendiri selepas muncul juara buat kali pertama dengan menundukkan pasukan kebangsaan Myanmar, 3-1 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Jurulatih skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Ong Kim Swee, bagaimanapun, mempunyai pandangan berbeza.

Beliau menyifatkan Pestabola Merdeka tahun ini lebih menjurus kepada persiapan pasukannya mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenangi di bumi Indonesia pada 2011.

"Bagi saya, sudah tentu kejohanan ini merupakan antara medan terbaik untuk pemain membuktikan kemampuan mereka untuk terus beraksi dalam kesebelasan utama. "Sekiranya mereka gagal mempamerkan aksi sebagaimana yang diharapkan, saya tidak teragak-agak untuk menggugurkan mereka kerana kita selaku tuan rumah seharusnya menggunakan kesempatan untuk meraih kejuaraan," kata pengendali dari Melaka itu.

Kim Swee, 42 berkata, kejohanan berkenaan turut menjadi platform terbaik untuk beliau mencongak senarai kesebelasan terbaik negara ke Sukan SEA selain mengukur kemampuan lapan pemain 'luar' yang dipanggil untuk memperkuatkan skuad muda negara itu.

Mereka ialah Mohammad Nasir Basharuddin (Perak), S.Sivanesan (Negeri Sembilan), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Putera Nadher Amarhan Maderner (Sarawak), K. Reuben (ATM), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (Selangor PKNS FC) serta pemain yang mewakili kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Skuad Harimau Muda A akan membuka kempen kejohanan, esok bertemu pasukan negara jiran, Singapura yang dijangka membariskan sebahagian besar pemain Lions XII yang beraksi dalam Liga Super.

Mereka akan meneruskan aksi kedua menentang Myanmar pada 9 Sept sebelum menutup aksi awal bertemu seteru utama, Thailand pada 11 September.

Untuk rekod, skuad senior kebangsaan berjaya memenangi kejohanan ini sebanyak sembilan kali iaitu pada 1958, 1959, 1960, 1968, 1973, 1974, 1976, 1986 dan 1993. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pestabola Merdeka , Malaysia , Myanmar , Sukan Sea

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan