Mutu Pengadilan Di Malaysia Memuaskan - Subkhiddin

Diterbitkan: Isnin, 2 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak mengecam mutu pengadilan bola sepak tempatan, bekas pengadil berpengalaman negara, Subkhiddin Mohd Salleh tampil mempertahankan tindakan pengadil di Malaysia.

Beliau yang pernah mengadili pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman dan 2010 di Afrika Selatan, menganggap tindakan pihak yang mempertikai keputusan pengadil dalam beberapa perlawanan Piala Malaysia kini adalah tidak wajar.

"Pengadil pun manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun saya percaya mereka sentiasa belajar daripada kesilapan bagi memastikan ia tidak berulang," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau mengulas beberapa insiden dalam kempen Piala Malaysia ketika ini yang mencetuskan rasa tidak puashati dalam kalangan sesetengah pihak berikutan keputusan pengadil yang dikatakan boleh dipertikaikan.

Antara yang lantang bersuara ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melakukan perubahan dalam mutu pengadilan tempatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz dalam laporan akhbar pada Isnin, berkata bahawa pihaknya hanya menerima lima aduan rasmi berhubung mutu pengadilan daripada 780 perlawanan keseluruhan, musim lalu.

Daripada lima aduan tersebut, beliau berkata hanya dua yang didapati berasas sekali gus membuktikan mutu pengadilan di negara ini berada pada tahap memuaskan.

Mengulas lanjut, Subkhiddin yang kini mengendalikan kursus pengadilan di seluruh negara, menegaskan keputusan pengadil mengesahkan jaringan dalam sesuatu perlawanan adalah berdasarkan pemerhatiannya sambil dibantu penjaga garisan.

"Mungkin sesetengah daripada kita yang menonton televisyen mengandaikan pemain berkenaan telah menjaringkan gol namun mereka harus faham bahawa sudut yang diambil oleh televisyen kebiasaannya dari tengah padang.

"Jadi, di sinilah penjaga garisan berperanan membantu pengadil untuk mengesahkan sama ada bola sudah melepasi garisan gol atau tidak," katanya.

Mengenai tuduhan liar segelintir pihak yang mendakwa pengadil di Malaysia terlibat dengan gejala rasuah, Subkhiddin berkata, perkara berkenaan tidak berasas sama sekali memandangkan kebanyakan pengadil di negara ini bekerja dalam bidang lain.

"Tidak semua pengadil di negara ini bekerja sepenuh masa...ada di antara mereka sebagai guru, kontraktor dan sebagainya.

"Bagi saya, tuduhan bahawa pengadil di negara ini terlibat dengan rasuah dan skandal mengatur perlawanan adalah tidak benar sama sekali kerana mereka turut mempunyai maruah diri," katanya yang bertugas sebagai guru di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan