Tempoh Sebulan Untuk Tubuhkan Jawatankuasa Integriti - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 29 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairy (kiri) menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan bernilai RM80,000 kepada atlet olahraga paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkifli, Khamis.
Khairy (kiri) menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan bernilai RM80,000 kepada atlet olahraga paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkifli, Khamis.

KUALA LUMPUR: Isu rasuah kembali panas dalam sukan bola sepak negara walaupun baharu seminggu sahaja aksi Piala Malaysia berlangsung.

Sukar untuk dibuktikan namun Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi tempoh sebulan kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk menubuhkan jawatankuasa integriti bertujuan memerangi gejala rasuah ini.

Sekiranya gagal berbuat demikian, katanya, beliau akan mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan tegas.

"Saya dah minta persatuan bola sepak negeri (dan kelab) untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan sewaktu saya jumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini (yang turut) melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dengan adanya jawatankuasa ini, boleh membantu kita menangani gejala mengatur perlawanan... kerana sekiranya tiada, kita tidak boleh mencegah (rasuah bola sepak)...Malangnya ada persatuan bola sepak negeri yang masih enggan menubuhkan jawatankuasa itu," katanya.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan pada Rabu mengenai gejala rasuah yang dikatakan melibatkan pemain dalam kempen Piala Malaysia ketika ini.

Mohamad turut dilaporkan sebagai berkata laporan telah dibuat kepada SPRM bagi menyiasat perkara itu dan menyerahkan kepada badan berkenaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemain yang didapati bersalah.

Mengulas lanjut, Khairy berkata ketiadaan jawatankuasa seumpama itu menyebabkan pemain yang dihampiri 'bookie' bola sepak tidak mengetahui saluran sesuai untuk melaporkan gejala tidak sihat itu.

"Kalau ada jawatankuasa ini, ia dapat membantu kita...Saya terima banyak aduan daripada pemain tetapi mereka buat secara 'tanpa nama' iaitu tidak mendedahkan nama kerana mereka (pemain) takut dipukul atau keluarga mereka diancam," katanya kepada pemberita sempena Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Khairy berharap polis dapat meningkatkan operasi mereka dalam membanteras 'bookie' bola sepak.

Tags / Kata Kunci: Piala Malaysia , Khairy Jamaluddin , FAM , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan