Piala Malaysia Bermula Dengan Insiden Panas

Diterbitkan: Khamis, 29 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin

PETALING JAYA: Baharu saja seminggu Piala Malaysia 2013 berlangsung, kerenah penyokong lebih menjadi tumpuan berbanding pasukan yang beraksi.

Terbaru, "rusuhan" lebih 500 orang penyokong Selangor yang mengepung bas pasukan mereka selepas tewas 3-0 kepada Sime Darby di Stadium Selayang pada Selasa malam menjadi bualan hangat para peminat bolasepak tempatan.

Manakala pada Sabtu lalu, turut menjadi perhatian apabila seorang peyokong Johor masuk ke padang cuba menyerang pengadil, Suhaimi Mat Hassan selepas melayangkan kad merah kepada pemain pasukan itu, M. Khairul Ismail ketika perlawanan bertemu Sime Darby, juga di Stadium Selayang.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengulas lanjut mengenai kedua-dua insiden ini.

"Pertama saya nak komen tentang rusuhan semalam (Selasa), laporan penuh belum dapat, mungkin petang ini.

"Saya cuma dapat laporan awal mengatakan 500 penyokong Selangor mengepung bas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), namun tidak ada insiden buruk yang berlaku.

"Saya kira ini dari segi teknikal mungkin mereka inginkan satu pencapaian yang lebih baik.

"Manakala dari pihak FAM pula, bukan katakan perkara itu sesuatu yang normal, tetapi mustahaknya perkara tersebut tidak melampaui batas yang dibenarkan.

"Kita tunggu laporan penuh adakah ia melibatkan kecederaan ataupun mana-mana kerosakan. Setakat ini penyokong hanya melahirkan rasa tidak puas hati mereka sahaja.

"Jadi kalau berdasarkan itu, penyokong ada hak. Dan jika lebih daripada itu kita akan lihat perkara yang lebih baik bagaimana hendak menanganinya," jelas beliau kepada media selepas Majlis Taklimat Piala Menteri Pendidikan Liga Bola Sepak IPT 2013, Rabu.

Hamidin turut menjelaskan mengenai insiden penyokong Johor yaang memasuki padang pada Sabtu lalu.

"Perkara kedua adalah mengenai perlawanan di antara Sime Darby dan Johor, sudah tentu tindakan itu salah.

"Saya kira pihak polis dan berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya.

"Pihak kami akan menyiasat insiden itu secara keseluruhan dalam masa terdekat, mungkin minggu depan akan ada mesyuarat dan saya tidak pasti perkara ini akan dimasukkan atau tidak dalam agenda, namun saya telah memaklumkan kepada pengerusi dan sekretariat jawatankuasa tataterbit untuk mengambil tindakan secepat mungkin.

"Dalam masa sama juga, sudah tentu penjelasan dari segi kawalan keselamatan akan dihantar kepada Sime Darby untuk beri penjelasan," jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan anggota keselamatan perlu ditambah ketika perlawanan diadakan, Hamidin berkata: "Buat masa ini bukan kata tidak perlu tetapi di sini insiden itu berlaku mungkin disebabkan kecuaian.

"Biar kami lihat dahulu laporan penuh dan dapatkan penjelasan hitam putih sebelum mengambil tindakan kerana keselamatan di tempat lain berjalan lancar setakat ini," katanya.

Hamidin turut menyeru kepada semua pasukan bahawa faktor keselamatan tidak boleh diambil ringan sama ada melibatkan perlawanan bertaraf rendah mahupun sebaliknya.

"Saya akan memberi peringatan ini lagi kepada semua pasukan secepat mungkin.

"Dan juga faham sikap ghairah segelintir penyokong itu disebabkan mahu melihat pasukan mereka menang, namun mereka perlu fahami garis panduan yang telah ditetapkan.

"Saya tidak nafikan keghairahan penyokong ini telah memeriahkan lagi sukan bola sepak tanah air.

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati, pergilah ke saluran yang betul. Pihak FAM, penyokong dan pasukan perlu berganding bahu, sama-sama memajukan sukan bola sepak tanah air," tambahnya.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengulas mengenai sesetengah individu yang dilaporkan mengganggu pengadil ketika perlawanan berlangsung.

"Saya baharu sahaja baca laporan tersebut dan kita akan cuba menangani perkara ini dengan baik dan ingin melihat sejauh mana perkara itu berlaku dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Tetapi perlu melihat hak sesebuah pasukan atau pegawai yang dibenarkan.

"Jadi kita akan melihat dahulu, dan jika ada bukti atau fakta, yang melebihi daripada perkara yang tidak boleh dilakukan, kita akan mengambil tindakan," jelasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan