Kritikan Tidak Jejas Tumpuan Program Pembangunan Bola Sepak - Teong Kim

Diterbitkan: Sabtu, 24 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah baharu Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim, berkata kritikan terhadap pelantikannya tidak menjejaskan rancangannya untuk program tersebut.

Menyentuh kritikan bekas jurulatih kelab T-Team, Peter James Butler mengenai pelantikannya dalam akaun Twitternya Rabu lepas, Teong Kim berkata beliau tidak bimbang kerana mahu memberikan perhatian sepenuh kepada program pembangunan khusus di peringkat akar umbi.

"Saya tidak ada idea tentang perkara itu (kritikan). Saya tidak mengenali dia sama sekali. Pendapatnya tidak menjadi soal. Saya boleh menerima semua kritikan," katanya.

Teong Kim berkata demikian kepada pemberita pada perasmian Kejohanan Bola sepak Antarabangsa Tujuh Sebelag Kelan Diraja Selangor (RSC)-Tiger ke-13 dan Kejohanan Antarabangsa Tujuh Sebelah RSC-Milo Bawah 12 Tahun ke-11 di Kelab RSC, Bukit Kiara di sini, Sabtu.

Butler dalam akaun Twitternya berkata dia tidak mengenali Teong Kim dan menganggap pemilihan tersebut lebih kepada penjimatan kos.

Tambahnya, tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan daripada bekas pembantu jurulatih skuad bawah 19 tahun, kelab divisyen satu Jerman, Bayern Munich FC itu.

Mengulas program pembangunan kebangsaan itu, Teong Kim berkata banyak perkara perlu ditekankan khususnya mengenai kejurulatihan, pendidikan bola sepak dan kemudahan infrastruktur.

Pelantikan Teong Kim itu berkuat kuasa November ini. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Lim Teong Kim , T-Team , Peter James Butler

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan