Spurs Berbelanja Besar Beli Pemain Brazil Willian Buka Laluan Kepada Penjualan Gareth Bale - Bola Sepak | mStar

Spurs Berbelanja Besar Beli Pemain Brazil Willian Buka Laluan Kepada Penjualan Gareth Bale

Diterbitkan: Rabu, 21 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TOTTENHAM Hotspurs meneruskan perbelanjaan besar mereka diawal musim dengan membeli pemain antarabangsa Brazil Willian dengan harga £30 juta dari kelab Rusia, Anzhi Makhachkala sekaligus membuka laluan kepada penjualan pemain paling berharga di dunia buat masa ini - Gareth Bale.

André Villas-Boas kini telah membelanjakan sekitar £90 juta untuk memperkukuhkan skuadnya.

Namun perbelanjaan Spurs tidak terhenti setakat itu sahaja malah mereka juga pada masa yang sama sedang mengejar penyerang antarabangsa Argentina, Erik Lamela, yang diletakkan pada harga £25 juta oleh kelabnya Roma.

Sebelum ini Villas-Boas telah pun membelanjakan £59.5 juta ke atas empat pemain antarabangsa termasuklah bintang baru Brazil Paulinho (£17 juta) dan penyerang Sepanyol Roberto Soldado (£26 juta).

Perbelanjaan besar yang belum pernah berlaku dalam sejarah kelab bolasepak London itu memberi indikasi yang Spurs telah bersedia untuk berpisah dengan bintang mereka paling berharga Gareth Bale yang kini sedang diburu oleh Real Madrid dengan harga rekod perpindahan dunia, £86 juta.

Real secara rasmi telah pun mengemukakan tawaran itu tapi Spurs masih belum memberikan kata putus.

Rekod perpindahan dunia buat masa ini disandang oleh Cristiano Ronaldo apabila Manchester United menjualnya kepada Real pada harga £80 juta.

Bale yang mahukan perpindahan itu bagi membolehkannya beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah telah tidak berlatih bersama skuad utama Spurs dan tidak disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama ketika Spurs menumpaskan Crystal Palace 1-0 Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Willian telah dirakamkan memasuki sebuah klinik di kota London untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Villas-Boas mahu mendapatkan khidmat Willian pada Januari lalu ketika pemain itu masih lagi bermain dengan kelab Shakhtar Donetsk.

Bagaimanapun perpindahannya ke Anzhi mematahkan urusan tersebut.

Sementara itu Roma berbelah bahagi sama ada hendak menerima tawaran ke atas Lamela selepas mereka baru sahaja menjual seorang lagi penyerang iaitu Pablo Osvaldo kepada Southampton minggu lalu.

Mereka bimbang kehilangan Lamela akan mencetuskan kemarahan peminat setia tetapi tawaran lumayan yang dikemukakan oleh Spurs amat sukar ditolak pada saat kelab-kelab di Itali semuanya sedang berhadapan dengan krisis kewangan yang teruk.

Villas-Boas perlu terus memperkukuhkan skuadnya untuk memberi saingan kepada pencabar-pencabar Liga Perdana Inggeris selepas mereka menjual beberapa pemain veteran seperti Scott Parker, Tom Huddlestone, Steven Caulker dan Clint Dempsey - kesemuanya pada harga £23 juta.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan