Legenda Bola Sepak Negara Sertai Kejohanan 9 Sebelah Di Melaka

Diterbitkan: Rabu, 21 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan menganjurkan kejohanan bola sepak 9 sebelah veteran jemputan peringkat negeri Melaka sempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-56.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata kejohanan di padang bola sepak Rotunda Malacca Club di Tanjung Keling Ahad ini akan melibatkan 12 pasukan termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan bekas pemain bola sepak seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukor Salleh, Samsurin Abdul Rahman dan Ching Hong Aik.

"Walaupun telah menjadi warga emas tetapi kita dapat melihat ketangkasan yang ada pada mereka dan boleh mengimbau kenangan manis masa yang lalu," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Melaka Asmori Sa'ahari.

Sementara itu Asmori berkata kejohanan itu bertujuan menaikkan semangat patriotisme di kalangan rakyat negeri Melaka melalui sukan sempena bulan kemerdekaan negara.

Sehubungan itu katanya orang ramai dijemput hadir menyaksikan perlawanan tersebut dan masuk adalah percuma. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan