FAM Kemuka Permohonan Rasmi Kepada MBSA Guna Stadium Shah Alam

Diterbitkan: Rabu, 21 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 November ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tidak timbul lagi sebarang isu berhubung penggunaan stadium tersebut kerana surat permohonan itu dihantar semalam.

"Mungkin MBSA telah menerima surat daripada FAM sebab surat itu dihantar petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Selepas meninjau Stadium Shah Alam pagi semalam, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata MBSA belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada FAM untuk menggunakan stadium berkenaan sebagai venue final Piala Malaysia.

Sebelum ini, FAM memutuskan untuk mengadakan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam berikutan kualiti venue asal di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak memuaskan dan tidak menepati standard antarabangsa.

Keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional juga menyebabkan pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona FC meminta perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Malaya baru-baru ini, dipindahkan.

Insiden memalukan itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang kemudian meminta Stadium Nasional ditutup pada Oktober ini selama enam bulan bagi proses penanaman semula rumput.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan